KUALA TERENGGANU: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengeluarkan kompaun terhadap penganjur sebuah program hiburan di bandar raya ini selepas didapati melanggar syarat dan garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
Datuk Bandar, Lizan Che Mat berkata, tindakan itu dibuat selepas pihaknya meneliti penganjuran program berkenaan termasuk susulan penularan video memaparkan aksi keterlaluan yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
Katanya, kompaun berkenaan dikeluarkan kerana terdapat pelanggaran syarat di bawah lesen hiburan yang diberikan kepada penganjur.
“Lesen hiburan yang dikeluarkan di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 adalah tertakluk kepada syarat dan sekatan yang telah ditetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata, mana-mana pemegang lesen yang melanggar syarat serta sekatan tersebut boleh dianggap melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002.
Katanya, jika disabitkan kesalahan, pemegang lesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Lizan berkata, MBKT memandang serius sebarang pelanggaran syarat penganjuran khususnya melibatkan program hiburan yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
Katanya, setiap kelulusan yang diberikan kepada penganjur bukan bermakna sesuatu program boleh dijalankan tanpa kawalan atau di luar syarat yang telah ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
“Setiap penganjur perlu bertanggungjawab memastikan program berjalan mengikut syarat lesen yang diberikan. Jika syarat dilanggar, tindakan boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya. – UTUSAN










