KAJANG: Ahli keluarga Allahyarham Nur Qaseh Deandra Mohd. Qayyum melafazkan rasa syukur dan reda atas penemuan mayat kanak-kanak berusia sembilan tahun itu semalam, selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.
Datuk mangsa, Zulkarnain Ahmad, 57, berkata, meskipun pilu, mereka sekeluarga bersyukur dengan penemuan itu berikutan berdepan detik sukar sepanjang tempoh pencarian.
“Sebagai datuk, saya bersyukur tidak terhingga kerana selepas tiga hingga empat hari menunggu dengan tidak cukup tidur dan makan pun tidak lalu, akhirnya Qaseh ditemui.
“Saya reda dengan apa yang berlaku. Sekurang-kurangnya saya tahu di mana dia berada dan di mana dia akan dikebumikan. Alhamdulillah, ahli keluarga juga sudah reda dengan apa yang terjadi.
“Itu semua ketentuan Allah, kita tidak mampu mengubah apa-apa,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Kajang di sini.
Mayat Nur Qaseh Deandra yang hilang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Bandar Mahkota Cheras sejak Jumaat lalu, ditemukan kira-kira pukul 12.17 tengah hari semalam di Sungai Langat.
Tubuh Allahyarham ditemukan pada jarak kira-kira 11 kilometer (km) dari lokasi dilaporkan jatuh. Zulkarnain berkata, kali terakhir dia bertemu cucunya kira-kira dua minggu lalu ketika mangsa mengunjunginya di rumah.
Dia menyifatkan, Nur Qaseh Deandra sebagai periang, mudah mesra dan senang berkawan walaupun dengan individu baharu dikenali.
“Dia datang ke rumah saya dua minggu sebelum kejadian. Kami sempat makan bersama. Dia memang periang dan mudah berkawan dengan sesiapa sahaja. Walaupun tidak kenal, dia boleh bergaul dan senang diajak berbual,” katanya.
Katanya, kehilangan itu amat dirasai oleh ahli keluarga terutama abang mangsa yang sangat rapat dengan Allahyarham.
“Yang paling terkesan mungkin abangnya kerana mereka sangat rapat. Jika abangnya tidak mahu pergi ke mana-mana, dia juga tidak mahu pergi,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Wan Syariman Wan Salleh berkata, operasi SAR ditamatkan susulan penemuan itu.
“Tumpuan pencarian Nur Qaseh Deandra semalam menjurus kepada lokasi penemuan petunjuk baharu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang, Timbalan Penguasa Bomba II Izman Adnan berkata, unit anjing pengesan (K9) turut dikerahkan ke lokasi.
Beliau berkata, radius SAR membabitkan lima km dari Pangsapuri Sri Hijau sehingga Sungai Long yang bersambung dengan Sungai Langat.
Menurutnya, pencarian turut dilakukan dari Sungai Langat sejauh 24km menghala ke penahan air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Putrajaya, menjadikan radius keseluruhan pencarian 29km.
“SAR diluaskan hingga Sungai Langat, namun tumpuan utama kita masih di sepanjang kira-kira lima km Sungai Long,” katanya. – UTUSAN










