HULU SELANGOR: Mayat kanak-kanak lelaki yang dipercayai lemas selepas dibawa arus di Sungai Nilam, Sungai Selisek di sini ditemukan hari ini.
Mangsa, Muhamad Aakif Imran Asrul Nizam, 10, ditemukan pasukan penyelamat pada pukul 4.36 petang di dasar sungai berkenaan.
Ketua Zon Rawang Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba II Mustakim Rimon berkata, mangsa ditemukan kira-kira 300 meter dari lokasi dilaporkan terjatuh.
Menurutnya, operasi pencarian memasuki hari kedua melibatkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dengan bantuan beberapa agensi lain.
“Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan selaman di kawasan sungai yang mempunyai kedalaman kira-kira enam meter sebelum menemukan mangsa di dasar sungai.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan lemas selepas dibawa arus deras ketika berada di Sungai Bernam berhampiran Kampung Sungai Nilam.
Beliau berkata, operasi pencarian dilakukan di permukaan sungai dalam radius tiga kilometer dari lokasi kejadian.
“Operasi turut melibatkan anggota dari BBP Tanjung Malim dan BBP Slim River selain Unit K9 serta beberapa pasukan sukarelawan.
“Antara agensi yang terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Pejabat Daerah Hulu Selangor,” katanya. – UTUSAN










