Mayat mangsa lemas di Paka dijumpai, adiknya masih hilang

Mayat mangsa lemas di Paka dijumpai, adiknya masih hilang

PASUKAN mencari dan menyelamat mengangkat mayat Muhammad Amir Ashraf Mohd. Zul-Zunaidi yang lemas ketika mandi di Sungai Beril, Paka, Dungun, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Mayat pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Durian Guling, Marang, dekat sini, Muhammad Amir Ashraf Mohd. Zul-Zunaidi, 15, yang hilang akibat dibawa arus deras ketika mandi di Sungai Beril, Paka di sini, ditemukan kira-kira pukul 3.45 petang ini.

Usaha mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa iaitu adiknya, Muhammad Aidil Amsyar, 14, masih diteruskan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintenden Jumaidy Bah Chong Weh berkata, mayat Muhammad Amir Ashraf ditemukan di kedalaman 5.1 meter di dasar sungai.

Kata beliau, mayat itu dijumpai pada jarak kira-kira tujuh meter dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang selepas hanya dua minit selaman kali keempat dilakukan unit PPDA.

“Operasi pencarian kini diteruskan untuk mencari adik mangsa yang masih hilang,” katanya hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, empat sahabat termasuk dua beradik berkenaan dilaporkan dibawa arus deras ketika mereka beriadah di sungai tersebut.

Dua rakan mangsa yang turut mandi bersama dua beradik itu, Muhammad Farish Iqbal Cik Mohana Runasdi, 14, dan Muhammad Afi Naashif Adli Noone, 15, selamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN