Malaysia satu-satunya negara penaung misi Sumud Flotilla - Amirudin

Malaysia satu-satunya negara penaung misi Sumud Flotilla – Amirudin

Amirudin pada sidang akhbar terkini perkembangan Misi Pelayaran Global Sumud Flotilla.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Malaysia menjadi satu-satunya negara yang memberikan pengiktirafan rasmi sebagai penaung kepada Misi Global Sumud Flotilla 2.0 yang sedang digerakkan bagi memecahkan kepungan di Gaza.

Menteri Besar Selangor yang juga Menteri Penaung misi itu, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sokongan itu bukan sekadar bersifat individu atau moral, sebaliknya melibatkan pendirian kerajaan secara rasmi terhadap misi kemanusiaan berkenaan.

Katanya, pendirian Malaysia itu turut menarik perhatian negara lain yang melihatnya sebagai contoh untuk memberikan pengiktirafan sama terhadap misi berkenaan.

Amirudin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memainkan peranan penting dalam menyokong misi itu, bukan sahaja sebagai individu, tetapi sebagai ketua kerajaan.

Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata, misi berkenaan bukan gerakan bersifat keagamaan semata-mata, sebaliknya disertai masyarakat antarabangsa termasuk dari Eropah dan pelbagai latar belakang bagi meningkatkan kesedaran global serta memecahkan kepungan yang dikenakan ke atas Gaza.

Beliau berkata, Malaysia akan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan termasuk sokongan diplomatik dan kewangan bagi memastikan misi tersebut dapat diteruskan seperti dirancang.

“Sokongan kita akan bertambah kuat kerana kita hargai pengorbanan aktivis termasuk dari Malaysia yang sanggup mengorbankan masa, wang dan keselesaan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, penyertaan Malaysia dalam misi itu adalah satu kebanggaan, selain memberi isyarat jelas pendirian negara dalam usaha memecahkan kepungan Israel terhadap Gaza.

Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata, misi bantuan kemanusiaan ke Gaza membabitkan 30 kontena seberat 374 tan melalui jalan darat khususya di sempadan Rafah sedang diaturmmelalui beberapa proses dan protokol yang perlu dipatuhi di negara-negara terlibat.

“Prosedur itu perlu bagi memastikan kelancaran pergerakan merentasi sempadan. Kita akan maklumkan perkembangan dari semasa ke semasa, termasuk taklimat di Rafah apabila semuanya telah dilaksanakan,” katanya.

Katanya, penghantaran itu adalah sebahagian daripada kesinambungan usaha terdahulu yang menyaksikan 100 kontena bantuan berjaya disalurkan ke Gaza.

Amirudin berkata, sebelum ini, sebanyak 40,000 tin makanan juga telah dihantar sebelum Ramadan dan Aidilfitri lalu dan ia telah disahkan selamat tiba di Gaza berdasarkan rekod dan bukti yang diterima.

“Pengalaman kita sebelum ini, semua bantuan sampai. Kita ada bukti dan rekod yang menunjukkan penghantaran berjaya dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN