PETALING JAYA: Malaysia mengekalkan daya saing peringkat global dalam pelbagai sektor ekonomi Islam dengan membuktikan keyakinan berterusan masyarakat antarabangsa terhadap kekuatan ekonomi negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ia dibuktikan melalui kedudukan Malaysia di tangga teratas berdasarkan laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE) 2024/2025.
Katanya, pencapaian itu turut memperlihatkan kekuatan ekosistem ekonomi negara yang merangkumi sektor kewangan Islam, industri halal, inovasi, pelaburan dan pembangunan mampan yang terus mendapat kepercayaan komuniti antarabangsa.
“Malaysia sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai peneraju ekonomi Islam dunia. Pencapaian ini bukan datang secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha berterusan kerajaan dalam memastikan negara kekal stabil, berdaya saing dan diyakini pelabur.
“Ia juga membuktikan bahawa dasar yang dilaksanakan kerajaan berjaya mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi serta pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Kor Ming berkata, kedudukan Malaysia yang mengatasi beberapa negara Islam utama dunia menunjukkan asas ekonomi berada dalam keadaan kukuh dan mampu menghadapi cabaran ekonomi global semakin mencabar.
“Pencapaian ini adalah kejayaan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
“Ia membuktikan bahawa apabila negara berada dalam keadaan stabil dan dasar pembangunan dilaksanakan dengan jelas, hasilnya dapat dilihat melalui pengiktirafan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Katanya, kejayaan itu juga merupakan hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk sektor awam, swasta, institusi kewangan, pemain industri dan rakyat yang bersama-sama memainkan peranan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Ujarnya, kerajaan akan terus memberi fokus kepada agenda pembangunan rakyat termasuk memperluaskan akses kepada perumahan berkualiti, memperkasa pembangunan bandar yang mampan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti.
“Kerajaan Madani akan terus bekerja keras memastikan kemakmuran negara bukan sekadar angka dalam laporan ekonomi, tetapi dapat dirasai oleh rakyat menerusi peluang ekonomi yang lebih luas, pembangunan yang seimbang dan peningkatan taraf hidup,” katanya.
Beliau berkata, kestabilan dan keyakinan yang dinikmati negara hari ini perlu terus dipelihara supaya Malaysia dapat mengekalkan kedudukannya sebagai antara negara Islam paling berjaya dan dihormati di peringkat antarabangsa. – UTUSAN










