Litup berpurdah, Nadiya Nissa akui tidak mudah berlakon hanya guna mata - Utusan Malaysia

Litup berpurdah, Nadiya Nissa akui tidak mudah berlakon hanya guna mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Nadiya Nissa mengakui bukan mudah menjayakan watak Marissa dalam filem Polong apabila perlu berlakon hanya menerusi ekspresi mata kerana tampil berjubah dan berpurdah hitam sepanjang naskhah itu.

Nadiya atau Nadiyatul Nisaa’ Kamaruddin, 40, berkata, dia perlu memberi tumpuan penuh dalam menyampaikan emosi memandangkan wajah dan pergerakan tubuhnya tidak dapat digunakan seperti kebiasaan.

“Memang susah apabila muka ditutup dan saya hanya ada peluang menggunakan mata untuk berlakon. Saya juga perlu menjalani latihan khas bagi belajar bagaimana mahu menghidupkan watak Marissa hanya melalui pandangan mata.

“Malah, saya turut mencari tona suara yang sesuai dan seakan sama dengan watak ibu dalam cerita ini demi memastikan kesinambungan emosi dapat disampaikan kepada penonton,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem berkenaan baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai imej berpurdah hitam dan bersarung tangan yang dibawakan, Nadiya menjelaskan penampilan itu bukan sekadar elemen kosmetik, sebaliknya simbolik kepada trauma dan protes yang dialami wataknya akibat ilmu hitam ibunya, Maria Hadi.

Bagaimanapun, pelakon itu berharap penonton dapat menerima watak wanita berpurdah yang dibawakannya dengan hati terbuka kerana ia hadir sebagai metafora dalam jalan cerita filem tersebut.

“Imej dan kepercayaan adalah dua perkara berbeza. Dalam konteks filem ini, ia merupakan elemen misteri yang ingin diketengahkan pengarah.

“Saya harap masyarakat hari ini lebih terbuka dalam membezakan antara tuntutan watak dan kehidupan sebenar,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nadiya turut mengakui pengalaman membintangi filem seram tersebut agak mencabar memandangkan dirinya seorang yang penakut.

“Bayangkan, ketika di set penggambaran pun saya banyak menutup mata. Ada satu babak yang memerlukan saya bersendirian dengan ‘mayat’ atau entiti, jadi saya pastikan Pengarah Fotografi (DOP) sentiasa berada di sisi.

“Saya siap berpesan kepada DOP, kalau ada apa-apa berlaku, dia orang pertama yang saya akan pegang. Ketakutan yang penonton lihat dalam filem itu memang ketakutan sebenar, bukan dibuat-buat,” katanya sambil ketawa.

Polong mengangkat kisah seram Maria Hadi yang diilhamkan daripada kes pembunuhan berprofil tinggi di Malaysia.

Filem arahan Zulkarnain Azhar itu turut dibintangi Mimi Lana, Fad Anuar, Jun Lojong dan Namron, serta bakal menemui penonton pada 28 Mei ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN