HULU TERENGGANU: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika mandi di Air Terjun Belukar Bukit, di sini petang ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu ialah Muhammad Zahari Mohd Zain, 26, berasal dari Kampung Kelulut, Marang.
“Polis dimaklumkan terdapat seorang lelaki dipercayai lemas di kawasan air terjun berkenaan sebelum pasukan polis, bomba dan penyelamat serta ambulans Hospital Kuala Berang digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pada pukul 5 petang, polis dimaklumkan mangsa ditemukan oleh orang awam namun berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. Kakitangan Hospital Kuala Berang yang berada di lokasi kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia pada pukul 5.49 petang,” katanya. – UTUSAN










