IPOH: Seorang lelaki direman lima hari oleh Mahkamah Majistret Taiping hari ini, selepas disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, kelmarin.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, perintah reman terhadap suspek berusia 20 tahun itu bermula hari ini sehingga Khamis depan.
Katanya, suspek berjaya dikesan semalam di Padang Rengas sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.
“Permohonan reman oleh polis dibuat bagi membolehkan pegawai penyiasat melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya di sini hari ini.
Menerusi laporan media semalam, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun mendakwa menjadi mangsa rogol kenalan lelakinya yang baru dua bulan dikenali.
Kejadian berlaku selepas mangsa diambil oleh suspek dari rumah keluarganya di Lenggong kira-kira pukul 10 malam untuk keluar makan di Taiping dan singgah di sebuah rumah di Padang Rengas ketika dalam perjalanan pulang.
Mangsa kemudian telah diperkosa di rumah berkenaan dan kejadian itu terbongkar selepas remaja tersebut mengaku kepada abangnya.
Berdasarkan siasatan, mangsa baharu dua bulan berkenalan dengan lelaki itu menerusi rakannya dan mereka sering berhubung melalui aplikasi WhatsApp. – UTUSAN










