Lelaki Bangladesh guna Mykad isi petrol didenda RM10,000

Lelaki Bangladesh guna Mykad isi petrol didenda RM10,000

KOMPLEKS MAHKAMAH KUALA LUMPUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Bangladesh didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menggunakan kad pengenalan MyKad milik orang lain bagi pembelian petrol bersubsidi BUDI95.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap Md. Jakir Hossain, 50, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan ke atasnya.

Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dikenakan penjara selama 14 bulan.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Md. Jakir didapati memiliki dan menggunakan dua kad pengenalan masing-masing milik lelaki dan perempuan berusia 25 dan 31 tahun yang bukan kepunyaan tertuduh tanpa kuasa atau alasan yang sah bagi tujuan pembelian petrol bersubsidi.

Kesalahan dilakukan di sebuah stesen minyak di Jalan Pahang antara 8 Februari hingga 22 April lalu yang didakwa di bawah Peraturan 25 (1) (o) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Kesalahan memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara boleh sampai tiga tahun atau kedua-duanya.

Peguam Low Carmen memohon mahkamah mengenakan hukuman denda dengan alasan tertuduh merupakan penanggung utama keluarga.

“Tertuduh bekerja sebagai pembantu di sebuah stesen minyak dan mempunyai penyakit jantung,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana dalam kes ini kedua-dua mangsa telah mengalami kerugian.

“Tertuduh mempunyai pilihan untuk kembalikan Mykad tapi tertuduh membeli petrol walaupun dia tahu itu bukan miliknya,” katanya.

Berdasarkan ringkasan kes, pengadu yang merupakan seorang wanita berusia 31 tahun menyatakan pada 22 April lalu, baki subsidi BUDI95 berkurangan daripada 94.937 liter kepada 44.637 liter.

Pengadu mengesyaki kad pengenalannya telah digunakan tanpa izin untuk mengisi minyak bersubsidi.

Setelah menghubungi Budi Madani Contact Centre, mangsa dimaklumkan tentang transaksi yang berlaku di sebuah stesen minyak dengan lima transaksi mencurigakan yang kesemuanya dilakukan menggunakan kad pengenalannya yang hilang pada 21 April.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN