KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin merupakan antara penerima anugerah sempena Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 hari ini.
Amran menerima anugerah sebagai Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Kumpulan Pengurusan Tertinggi) sekali gus membawa pulang RM10,000 dan sijil yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anugerah Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Kumpulan Pengurusan Profesional) pula diterima oleh Dr. Muhammad Hana Pizi Abdullah dan Dr. Thinakaran Narayanan pula dinobatkan sebagai Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Kumpulan Pelaksana).
Tokoh Pekerja Negara (Eksekutif) diterima oleh Ariffin Sabirin dan Sayyidatul Aisyah Sulaiman pula sebagai Tokoh Pekerja Negara (Bukan Eksekutif), kedua-dua anugerah turut menerima RM10,000 dan sijil.
Muhammad Adib Ibrahim yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran dinobatkan sebagai Tokoh Pekerja Negara (OKU).
Sementara itu, Telekom Malaysia (TM) dinobatkan sebagai Majikan Terbaik Negara (Syarikat Besar/GLC) dan Green Resource Recovery Sdn. Bhd. pula menerima anugerah Majikan Terbaik Negara (SME).
Bagi anugerah Kesatuan Sekerja Terbaik Negara bagi sektor awam dan swasta pula diterima oleh Sarawak Teachers’s Union serta Kesatuan Pekerja-Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Berhad (UPUS) Semenanjung Malaysia.
Anugerah Kesatuan Sekerja Terbaik Negara (Badan Berkanun) pula diterima Kesatuan Pekerja-Pekerja RISDA Semenanjung Malaysia (KPPRSM).
Dalam pada itu, wartawan dari Star Media Group, Tarrence Tan Jian Wai menerima anugerah media terbaik (individu) dan Radio Televisen Malaysia (RTM) menerima anugerah Media Terbaik (agensi).-UTUSAN










