Kopi santan sawit sumber rezeki jaga ibu uzur, adik OKU - Utusan Malaysia

Kopi santan sawit sumber rezeki jaga ibu uzur, adik OKU

ABDUL Ghani Sheikh Ismail menunjukkan kopi santan sawit yang dihasilkan di warungnya di Kampung Baru Seri Teruntum, Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: “Hampir setiap hari saya ke rumah ibu sekitar pukul 2 pagi untuk buat persiapan sebelum berniaga sehingga kira-kira 12.30 tengah hari. Selepas itu, saya uruskan ibu dan ke­luarga sebelum pulang ke rumah sendiri pada sebelah malam.”

Demikian rutin Abdul Ghani Sheikh Ismail dari Bukit Rangin di sini yang menjaga ibu uzur serta adik orang kurang upaya (OKU), pada masa sama berniaga kopi santan sawit sebagai sumber pendapatan.

Abdul Ghani, 45, tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap ibunya, Alimah Kassim, 72, yang menghidap demensia serta beberapa penyakit lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dia turut menjaga adiknya, Lukman Nur Halim, 42, dan ibu saudara, Rahimah Abdul Kassim yang tinggal bersama ibunya.

“Dua lagi adik-beradik saya yang tinggal berjauhan turut membantu dari segi kewangan dan pulang secara bergilir-gilir menjaga keluarga,” katanya.

Mengenai perniagaannya, Abdul Ghani berkata, dia menghasilkan kopi santan sawit sebagai alternatif kepada penggemar kopi yang mengalami intole­ransi laktosa atau sensitif pada produk susu.

Katanya, idea menghasilkan menu itu tercetus daripada pe­ngalamannya sendiri yang tidak boleh mengambil produk berasaskan susu, sekali gus mendorongnya mencari pilihan le­bih sihat untuk dinikmati tanpa menjejaskan kesihatan.

Usahanya itu tidak sia-sia apabila minuman tersebut menjadi sumber pendapatannya sejak tujuh tahun lalu di Kampung Baru Seri Teruntum di sini.

“Selepas melalui proses eks­perimen selama kira-kira tiga bulan, saya dapat menghasilkan kopi santan sawit yang menepati cita rasa dan memulakan perniagaan di bawah jenama ST45.

“Pada awalnya saya cuba pelbagai campuran sebelum jumpa formula yang sesuai. Saya gunakan kopi tempatan dari Kedah dan campur dengan kopi sedia ada di pasaran kerana harga biji kopi kini agak mahal, mencecah sekitar RM45 sekilogram,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini