KUALA LUMPUR: Ketahanan sektor bangunan dan hartanah dalam mendepani era geoekonomi baharu menjadi fokus utama Sidang Kemuncak Bangunan dan Hartanah Malaysia 2026 (MBPS 2026).
MBPS 2026 menjadi platform strategik untuk membincangkan transformasi ekonomi, pembandaran mampan, perumahan mampu milik, inovasi digital serta pembangunan ekosistem hartanah negara.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, perbincangan pada sidang kemuncak itu penting kerana keputusan berkaitan pembangunan, pembiayaan dan pelaksanaan projek akan memberi kesan langsung kepada daya tahan ekonomi Malaysia.
Menurutnya, industri pembinaan menyumbang sekitar 3.5 hingga 4.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, selain menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor berkaitan seperti keluli, simen dan kayu.
“Malaysia kini memasuki fasa pembangunan baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang memberi penekanan kepada pertumbuhan ekonomi mampan, mobiliti sosial, reformasi sektor awam serta kelestarian alam sekitar.
“RMK13 turut membawa tiga implikasi utama kepada sektor pembinaan dan hartanah, termasuk usaha menangani ketidaksepadanan perumahan mampu milik.
“Sehingga suku pertama 2026, Malaysia merekodkan 32,801 unit kediaman siap tidak terjual bernilai RM16.37 bilion, dengan segmen pangsapuri servis merangkumi hampir 19,263 unit daripada jumlah tersebut dengan hampir 60 peratus berharga antara RM500,000 hingga RM1 juta.
“Situasi itu menunjukkan ketidaksepadanan antara jenis pembangunan yang dibina dengan kemampuan sebenar majoriti rakyat,” katanya dalam ucaptama di Sidang Kemuncak Bangunan dan Hartanah Malaysia 2026.
Selain itu, beliau berkata, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sedang bergerak pantas daripada peringkat perancangan kepada pelaksanaan berskala penuh, dengan projek berkaitan JS-SEZ menyumbang 85 peratus daripada jumlah pelaburan Johor sehingga akhir 2025.
“Pada masa sama, projek mega keterhubungan seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lebuhraya Pan Borneo dan MRT3 di Lembah Klang turut dipacu di bawah RMK13.
“Di bawah rangka kerja pengukuran baharu negara, projek bukan sahaja akan dinilai berdasarkan sumbangan ekonomi, tetapi juga integrasi spatial, impak sosial, kesan terhadap alam sekitar serta tadbir urus,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden KSI Strategic Institute for Asia Pacific merangkap moderator sesi teknologi, Tan Sri Michael Yeoh berkata, sektor hartanah dan pembinaan kini berada dalam fasa transformasi penting.
“ Masa depan industri bangunan dan hartanah bergantung kepada keupayaan mengintegrasikan kelestarian, teknologi dan pembangunan berteraskan manusia.
“MBPS 2026 membuktikan pemain industri bersedia menilai semula model tradisional dan bekerjasama ke arah pertumbuhan lebih pintar serta berdaya tahan,” katanya.
Sidang kemuncak itu bertemakan “Powering Smart & Sustainable Development in the New Geoeconomic Era” dan menghimpunkan lebih 100 penggubal dasar, pemaju, institusi kewangan, pendukung kelestarian dan peneraju teknologi.
Ia bagi membincangkan hala tuju industri dalam persekitaran global yang semakin mencabar, sekali gus menampilkan empat sesi utama yang membincangkan cabaran dan peluang semasa industri. –UTUSAN










