PADANG BESAR: Kementerian Pengangkutan sedang melihat keperluan teknologi bersesuaian mencegah isu kecurian kabel landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) selain memperketatkan undang-undang berkaitan.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, masalah tersebut juga memerlukan pemantauan lebih berkesan dan ketat oleh KTMB dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC).
Katanya, kes kecurian kabel landasan KTMB merupakan isu keselamatan nasional yang mengganggu perkhidmatan rel dan mengundang risiko bahaya bagi orang ramai.
“Kes kecurian kabel merupakan masalah besar khususnya di kawasan utara sehingga menyebabkan banyak kerosakan dan mengganggu perkhidmatan KTM Komuter dan tren elektrik (ETS).
“Pihak kementerian sedang melihat teknologi bersesuaian bagi mencegah kegiatan itu dengan pemantauan lebih berkesan oleh KTMB dan RAC.
Kita juga telah berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri untuk memperketatkan undang-undang terhadap kes kecurian kabel tersebut. Isu tersebut tidak boleh dilihat sebagai satu kes kecurian biasa kerana telah membantutkan perkhidmatan. Ia bukan sahaja dari segi kecurian kabel, malah boleh memberi kesan kepada keselamatan orang ramai,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin-Perlis Inland Port (PIP), di sini, hari ini.
Sementara itu, Anthony Loke berkata, walaupun terdapat beberapa tindakan telah dilaksanakan sebelum ini, kes-kes kecurian kabel dilihat masih tetap berleluasa.
“Ini disebabkan harga copper (tembaga) tinggi dan kita punya landasan juga sejauh 1,000 kilometer. Jadi hendak pantau setiap kilometer, setiap kawasan itu memang sukar sebab ada kawasan yang mungkin agak terpencil dan memudahkan akses ke landasan kita,” katanya.
Katanya, isu kecurian kabel bukan hanya berlaku di Malaysia namun turut melibatkan seluruh negara yang mempunyai sistem rel.
“Ini merupakan satu cabaran besar buat kementerian, operator dan KTMB, malah kita juga sedang melihat apa cara dan contoh-contoh di negara lain,” katanya. – UTUSAN










