PETALING JAYA: Hasrat pelakon Umi Nazeera untuk kembali bekerjasama dengan Allahyarham Jalil Hamid tidak kesampaian apabila tawaran mengarah sebuah telemovie terpaksa dilepaskan akibat kekangan jadual.
Umi atau nama sebenarnya Umi Nazeera Zainal Abidin, 36, berkata, nama Jalil Hamid antara yang pertama terlintas di fikirannya untuk membawakan watak ayah dalam naskhah tersebut.
“Beberapa minggu lepas, saya menerima tawaran untuk mengarah sebuah telemovie. Antara nama pertama yang terlintas di fikiran saya untuk memegang watak ayah ialah Jalil Hamid,” katanya dalam satu hantaran Threads miliknya, hari ini.
Namun, katanya, komitmen lain yang tidak dapat dielakkan menyebabkan dia tidak mampu memberikan sepenuh perhatian terhadap projek berkenaan.
“Tapi atas kekangan jadual, saya tidak dapat meneruskan komitmen itu,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.
Menurut Umi yang juga merupakan pelakon Rindu Kasih itu, meskipun peluang itu tidak menjadi kenyataan, dia tetap bersyukur pernah bergandingan dengan Allahyarham dalam karya terdahulu.
Jelasnya, pengalaman berlakon sebagai anak kepada Jalil dalam Bisik Pada Langit menjadi antara memori paling berharga sepanjang kerjayanya.
“Allah beri peluang untuk saya berlakon sebagai anaknya beberapa tahun lalu dan itu kenangan yang saya akan simpan selamanya,” katanya.
Dalam pada itu, Umi turut menitipkan doa agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta dipermudahkan segala urusan di alam sana.
Allahyarham Jalil Hamid dikenali sebagai antara pelakon berpengalaman yang banyak menyumbang dalam industri seni tanah air serta sering membawakan watak berkarakter bapa yang dekat dengan penonton.










