KUALA LUMPUR: Kekuatan sesuatu bangsa termasuk bumiputera tidak hanya diukur pada kekayaan material atau kemajuan fizikal semata-mata sebaliknya pada kualiti pendidikan, kekuatan ilmu dan nilai yang dimiliki.
Pengerusi Kongres Pendidikan Bumiputera 2026, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, justeru tanggungjawab pemimpin pada hari ini bukan kecil disebabkan tugas dalam menentukan arah masa depan generasi bumiputera yang akan datang.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, pemimpin juga perlu melahirkan anak bangsa yang cerdik dan berkemahiran tinggi dan generasi yang memiliki akhlak, adab dan jiwa kemanusiaan luhur.
“Kerana pendidikan yang sebenar bukan hanya melahirkan manusia yang pintar berfikir, tetapi manusia yang tahu makna tanggungjawab, nilai dan peradaban. Dengan pendidikan, lahirnya seorang pemimpin.
“Dengan pendidikan, lahirnya manusia yang memiliki ilmu, adab dan akhlak yang tinggi. Kita mengharapkan akhirnya nanti kita akan melahirkan generasi bumiputera yang akan menggapai ke langit dan mengakar ke bumi,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Hala Tuju Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zambry memberitahu, kongres itu bukan sekadar platform perbincangan biasa, sebaliknya ruang muhasabah nasional untuk menilai kedudukan sebenar bumiputera dalam landskap pendidikan hari ini.
Jelas beliau, ia juga merupakan makmal idea, merumus pendekatan baharu yang lebih segar, realistik dan berimpak tinggi selain menjadi medan penyelesaian untuk menangani isu-isu kritikal yang menghambat kemenjadian Bumiputera unggul.
“Prinsip kita jelas, yang baik kita pertingkatkan, yang lemah kita perbaiki dengan berani dan tuntas. Dan yang paling utama, bagaimana segala perbincangan, cadangan serta catatan di atas kertas ini dapat diterjemahkan menjadi tindakan yang strategik, ampuh dan benar-benar terlaksana.
“Bukan retorik semata-mata kerana bangsa yang besar bukan hanya bangsa yang pandai berbicara tetapi bangsa yang mampu melaksanakan agenda. – UTUSAN










