Kegagalan sistem pertukaran landasan punca LRT tergelincir - Anthony Loke - Utusan Malaysia

Kegagalan sistem pertukaran landasan punca LRT tergelincir – Anthony Loke

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke meninjau kawasan insiden tren tergelincir di Stesen LRT Chan Sow Lin, di sini hari ini. UTUSAN/SHIDDIEQIIEN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kegagalan fungsi kotak suis (switch box) atau sistem pertukaran landasan dipercayai menjadi punca berlakunya insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin semalam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, berdasarkan maklumat awal diperoleh daripada Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), gerabak pertama tren berada di landasan yang menghala ke Putra Heights.

Bagaimanapun beliau berkata, gerabak-gerabak seterusnya berada di landasan menghala ke Ampang sehingga menyebabkan keseluruhan enam gerabak berada pada dua hala laluan berbeza.

Katanya, keadaan itu menyebabkan daya tarikan dari bahagian belakang menarik keluar gerabak pertama sebelum dua gerabak pertama tergelincir sepenuhnya daripada landasan.

“Bagaimanapun, punca sebenar sama ada melibatkan kecuaian manusia, kerosakan sistem atau kegagalan teknikal masih belum dimuktamadkan.

“Semua maklumat yang diperlukan oleh pasukan petugas khas perlu disediakan oleh Prasarana untuk melihat kepada punca kejadian.

“Yang paling penting ialah log dalam sistem, termasuk apa yang berlaku di pusat kawalan dan apa yang berlaku kepada sistem isyarat atau signalling system,” katanya semasa sidang akhbar selepas sesi lawatan ke lokasi kejadian, di sini hari ini.

Katanya, buat sementara waktu tren dari Ampang menuju ke Sentul Timur perlu berhenti di stesen Chan Sow Lin sebelum berpatah balik ke Ampang bagi memberi laluan kepada kerja pembaikan trek dijalankan.

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat insiden tren LRT Laluan Ampang/Sri Petaling yang tergelincir pagi semalam.

Anthony Loke berkata, dapatan siasatan pasukan itu akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri dan dihebahkan secepat mungkin.

Bagaimanapun, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengarahkan Prasarana mengemukakan laporan lengkap secepat mungkin berhubung insiden berkenaan.

Sementara itu, APAD dalam kenyataan hari ini memaklumkan, laporan berkenaan akan diteliti secara terperinci sebelum proses temu siasat dan penelitian lanjut dilaksanakan bagi mengenal pasti faktor penyumbang kejadian.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN