PETALING JAYA: Jaminan kerjaya kira-kira 3.22 juta pekerja dalam ekonomi gig terutama aspek kebajikan dan perlindungan masih kabur, meskipun Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) telah berkuat kuasa pada 31 Mac lalu.
Dalam kalangan komuniti pekerja gig khusunya pemandu e-hailing, penghantar makanan dan barang (rider) serta kontraktor bebas, mereka mengakui belum berasa sebarang impak positif daripada peruntukan undang-undang tersebut.
Mereka mendakwa, penyedia platform masih sewenang-wenangnya menentukan kadar bayaran tidak munasabah, pemotongan pendapatan tanpa siasatan telus dan peraturan yang lebih memihak kepada pelanggan serta syarikat.
Pemandu e-hailing, Ahmad Syafique Abdullah, 60, berkata, kelemahan sistem penyedia platform menjadi antara isu pokok yang membelenggu mereka sehingga menjejaskan pendapatan bulanan.
Katanya, kadar komisen yang dipotong penyedia platform kini amat tinggi mencecah sehingga 30 peratus.
“Komisen platform lebih tinggi untuk jarak penghantaran penumpang yang dekat manakala kadar potongan lebih rendah jika jarak adalah jauh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pekerja gig diertikan sebagai seseorang individu yang membuat perjanjian perkhidmatan dengan entiti kontrak bagi pelaksanaan apa-apa perkhidmatan dengan mana-mana entiti kontrak yang merupakan penyedia platform.
Definisi itu turut terpakai terhadap apa-apa perkhidmatan sebagaimana yang dinyatakan dalam jadual dengan mana-mana entiti kontrak yang bukan merupakan penyedia platform dan menerima pendapatan bagi perkhidmatan itu.
Ahmad Syafique berkata, tempoh paparan tawaran tempahan hanya sekitar lapan saat menyukarkan pemandu memahami butiran perjalanan dengan jelas untuk membuat keputusan sama ada menerima atau menolak tawaran tersebut.
“Hal ini memberi kesan yang lebih ketara kepada pemandu orang kurang upaya (OKU) kerana mereka memerlukan masa tambahan untuk membaca dan memahami setiap butiran tawaran perjalanan dengan lebih teliti sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.
Seorang lagi pemandu, Mohd. Azril Ahmad, 41, berkata, sasaran insentif yang semakin tinggi memaksa mereka bekerja sehingga lebih 12 jam, lantas menimbulkan risiko keselamatan dan tekanan.
“Kami perlu melengkapkan 40 perjalanan pada Hari Raya Aidilfitri lalu untuk memperoleh insentif yang ditawarkan. Sasaran itu sebenarnya mengundang risiko terhadap keselamatan pemandu, semata-mata demi mengejar ganjaran yang ditawarkan,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD), M. Nathan berkata, salah satu bentuk eksploitasi terhadap pemandu adalah sistem prioritise atau keutamaan.
Katanya, ia dikenakan terhadap pemandu yang kerap membatalkan atau tidak menerima tawaran perjalanan yang dianggap tidak berbaloi.
“Dulu pemandu yang kerap membatalkan perjalanan akan dikenakan tindakan penggantungan akaun, namun kini pendekatan tersebut telah ditukar kepada sistem prioritise yang menyebabkan pemandu masih boleh bekerja tetapi menerima lebih sedikit tempahan perjalanan.
“Saya mencadangkan agar diwujudkan satu bentuk penilaian yang lebih telus dan seimbang dengan mengambil kira pandangan pemandu dan penumpang supaya keputusan yang dibuat lebih adil dan berdasarkan konteks sebenar,” katanya.
Sementara itu, dalam segmen p-hailing, selain isu laporan kehilangan palsu yang membawa kepada pemotongan pendapatan, dilema yang jarang diketengahkan adalah melibatkan gangguan seksual oleh pelanggan.
Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia mendedahkan, lebih 20 aduan berkaitan gangguan seksual terhadap penghantar makanan lelaki diterima pihaknya termasuk mesej lucah, ajakan tidak senonoh dan perlakuan mencurigakan ketika urusan penghantaran.
Pengerusinya, Haris Fadillah Arsyad berkata, untuk tahun ini, sembilan aduan berkaitan gangguan seksual terhadap rider direkodkan termasuk sesama jantina.
“Rider lelaki juga menjadi mangsa gangguan seksual pelanggan termasuk pelanggan lelaki yang membuat perlakuan tidak senonoh atau menghantar mesej lucah.
“Platform penghantaran makanan perlu memperkukuh ciri keselamatan termasuk butang kecemasan, sistem senarai hitam pelanggan bermasalah dan sokongan undang-undang kepada rider,” katanya.
Penghantar makanan, Anas Nu’man Mohd. Azman, 22, berkata, pengalaman diganggu pelanggan ketika menghantar makanan di sebuah kediaman menyebabkan dia berhenti selepas tiga bulan berkhidmat.
Katanya, pelanggan lelaki terlibat memintanya naik ke kediaman dengan alasan mahu memberi tip, sebelum membuat ajakan melakukan perkara tidak senonoh.
“Saya terus lari ke lif, nasib baik lif belum bergerak dan selepas tiga bulan saya berhenti menjadi penghantar makanan,” katanya. – UTUSAN










