PETALING JAYA: Sambutan dan Karnival Hari Pekerja 2026 yang berlangsung selama tiga hari berakhir semalam berjaya menarik lebih 30,000 kehadiran pengunjung di Unifi Arena, Bukit Jalil.
Sambutan tahunan itu dimulakan dengan Perhimpunan Mega Hari Pekerja yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menghimpunkan lebih 15,000 orang pekerja merangkumi sektor awam, swasta dan kesatuan sekerja.
Sepanjang tiga hari penganjuran, Karnival Hari Pekerja 2026 bukan sahaja menjadi platform penghargaan kepada pekerja, malah berfungsi sebagai hab sehenti berimpak tinggi membabitkan golongan pekerja dan majikan.
Pada karnival itu MyFutureJobs Premium Carnival 2026 turut menjadi antara komponen utama acara dengan menawarkan secara keseluruhan lebih 10,000 peluang pekerjaan merangkumi pelbagai sektor strategik.
Karnival Kerjaya oleh MyFutureJobs Perkeso mencatatkan kehadiran seramai 2,177 peserta, dengan 268 individu berjaya memperoleh peluang pekerjaan melalui sesi padanan pekerjaan secara langsung.
Penyertaan 30 majikan yang menawarkan lebih 4,000 kekosongan jawatan dengan julat gaji sehingga RM16,000 memperkukuh akses kepada peluang pekerjaan berkualiti.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, Sambutan Hari Pekerja bukan sekadar satu acara tahunan, tetapi manifestasi penghargaan negara kepada setiap individu yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi.
“Kerajaan komited untuk memastikan setiap pekerja Malaysia, tanpa mengira sektor atau bentuk pekerjaan, terus dilindungi, diperkasa dan diberi peluang untuk berkembang dalam landskap ekonomi yang semakin dinamik dan mencabar,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan pelbagai inisiatif seperti penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 serta usaha memperkukuh ekosistem latihan kemahiran dan TVET menerusi penubuhan Akademi Semikonduktor Kesuma.
Pelbagai aktiviti informatif turut dianjurkan sepanjang karnival termasuk sesi wacana ilmu atau pocket talk berkaitan peluang kerjaya, peningkatan kemahiran serta kesedaran dunia pekerjaan.
Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia (World OSH Day) turut diadakan pada 3 Mei bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, selari dengan usaha memperkukuh kesejahteraan pekerja secara holistik.
Karnival itu turut dimeriahkan dengan pelbagai perkhidmatan dan aktiviti mesra rakyat termasuk pendaftaran Kad Pekerja Madani, pemeriksaan kesihatan seperti saringan payudara dan prostat, ujian audiometrik, pemeriksaan pergigian, derma darah serta kemudahan pengemaskinian dokumen pengenalan diri.
Selain itu, Jualan Rahmah dan Agro Madani turut mendapat sambutan menggalakkan sebagai usaha membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
Sementara itu, Kementerian Sumber Manusia menyifatkan secara keseluruhannya, Karnival Hari Pekerja 2026 berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi pendekatan whole-of-government dan whole-of-industry.
“Dalam membina ekosistem tenaga kerja yang mampan, responsif dan berdaya tahan serta meningkatkan kesedaran rakyat terhadap pelbagai inisiatif tenaga kerja serta memastikan setiap individu mendapat akses kepada peluang, perlindungan dan sokongan yang diperlukan dalam landskap pekerjaan yang semakin dinamik.
“Sambutan ini memperkukuh aspirasi “Pekerja Madani Kesuma Bangsa” yang menegaskan bahawa pekerja merupakan aset paling berharga dalam memacu kemajuan dan kesejahteraan negara,” katanya.-UTUSAN










