PETALING JAYA: Sektor pembuatan mencatatkan nilai jualan RM173.1 bilion pada Mac 2026, meningkat 5.3 peratus berbanding 3.9 peratus pada bulam sebelumnya.
Peningkatan nilai jualan dalam sektor pembuatan disumbangkan terutamanya oleh subsektor peralatan elektrik dan elektronik, meningkat 13.3 peratus pada Mac 2026 berbandinc 13.8 peratus pada Februari 2026.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan tersebut turut disokong oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau yang meningkat 7.8 peratus berbanding 2.8 peratus pada Februari 2026.
“Ia juga dibantu oleh subsektor produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam, meningkat sebanyak 3.7 peratus berbanding 3.2 peratus pada bulan sebelumnya.
“Perbandingan bagi bulan ke bulan, nilai jualan meningkat 8.7 peratus, dari RM159.2 bilion yang direkodkan Februari 2026,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang mewakili 71.7 peratus daripada jumlah jualan, berkembang 6.5 peratus pada Mac 2026 berbanding 4.5 peratus pada bulan sebelum.
“Prestasi ini ditunjangi oleh peningkatan dalam pembuatan komputer, produk elektronik dam optikal pada 15.2 peratus berbanding 16.1 peratus pada Februari 2026.
“Selain itu, pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan juga mencatatkan kenaikan pada 10.2 peratus berbanding -0.9 peratus pada Februari 2026.
“Sementara itu, pembuatan jentera dan peralatan t.t.t.l. tumbuh 2.7 peratus berbanding 1.5 peratus pada Februari 2026.
“Berbanding kepada nilai jualan pada bulan sebelumnya, industri berorientasikan eksport melonjak 10.7 peratus,” ujarnya.
Mohd. Uzir berkata, pada masa yang sama, industri berorientasikan domestik meningkat 2.5 peratus pada Mac 2026, selepas mencatatkan 2.7 peratus pada bulan sebelumnya.
“Prestasi ini disokong terutamanya oleh pertumbuhan dalam industri pembuatan produk pemprosesan makanan sebanyak 5.0 peratus serta dalam industri pembuatan logam asas (3.6 peratus) dan pembuatan produk galian bukan logam lain (3.2 peratus).
“Di samping itu, industri berorientasikan domestik mengembang 4.0 peratus, berasaskan pertumbuhan bulan ke bulan,” jelasnya. – UTUSAN










