MEKAH: “Orang kata saya dah tua, tidak layak pergi haji, tapi saya percaya Allah menentukan.”
Demikian luahan jemaah haji paling tua Malaysia, Moraton Hassan, 88, dari Muar, Johor yang akhirnya menjejakkan kaki ke tanah suci selepas bertahun-tahun menyimpan impian untuk menjadi tetamu Allah.
Menurut ibu lima orang anak itu, dia pernah lama menyimpan hasrat untuk menunaikan rukun Islam kelima itu, namun terpaksa menangguhkan niat kerana memikirkan tanggungjawab terhadap anak-anak yang masih kecil selain kekangan mencari peneman.
Lebih menyentuh hati, warga emas itu mengakui pernah berasa sedih dengan kata-kata segelintir pihak yang meragui peluangnya menunaikan haji pada usia lanjut.
“Orang kata saya dah tua, tak layak pergi. Tapi saya percaya kalau Tuhan jemput, dapatlah pergi. Alhamdulillah, akhirnya sampai juga ke Mekah,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Moraton, dia pernah hampir putus asa setelah beberapa kali merayu untuk menunaikan haji, namun tetap memilih untuk terus berdoa dan melakukan solat hajat agar dipermudahkan urusan ke tanah suci.
“Alhamdulillah tahun lepas Tabung Haji telefon dan maklum mak cik dapat pergi haji. Saya syukur sangat. Tetapi ada juga rasa sedih teringat orang cakap saya tak boleh pergi. Tapi saya percaya semua ini kuasa Tuhan,” ujarnya.
Wanita itu turut berkongsi rutin kehidupannya di kampung sebelum ini yang banyak dihabiskan membantu keluarga sebagai penoreh getah selain membesarkan lima anak lelaki selepas kematian suami kira-kira 25 tahun lalu.
Menurutnya, wang untuk mengerjakan haji dikumpul sedikit demi sedikit hasil simpanan dan bantuan anak-anak.
Dalam pada itu, menantunya, Azizah Wahab, 50, berkata, walaupun ibu mertuanya sudah memasuki usia sembilan dekad, namun dia masih kuat beribadah dan mempunyai tahap kesihatan sangat baik.
Menurut beliau, ibu mentuanya sebelum ini perlu menjalani pelbagai pemeriksaan kesihatan termasuk ujian jantung dan pemeriksaan pakar sebelum disahkan layak menunaikan haji.
Sepanjang berada di Mekah, dia berkata, ibu mentuanya masih mampu bergerak dengan bantuan kerusi roda selain tetap bersemangat menghadiri solat berjemaah, mengaji al-Quran dan mengikuti aktiviti ibadah harian.
Azizah menganggap peluang menjaga ibu mertuanya sepanjang musim haji sebagai amanah besar keluarga dan panggilan istimewa daripada Allah.
“Saya anggap ini panggilan ilahi. Saya sendiri rasa giliran saya mungkin lambat lagi. Tetapi kerana mak dapat panggilan dan perlukan pengiring, suami minta saya temankan,” katanya. – UTUSAN










