Jangan normalisasi kenyataan rendahkan institusi diraja - Utusan Malaysia

Jangan normalisasi kenyataan rendahkan institusi diraja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kenyataan yang dilihat mempertikai institusi diraja tidak seharusnya dinormalisasikan dalam ruang politik negara.

Ketua Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Daniel Khoo berkata, dalam hal ini, semua pihak termasuk ahli politik perlu lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan berkaitan Raja-Raja Melayu kerana melibatkan sensitiviti rakyat serta keharmonian negara.

“Kita boleh lihat sendiri bagaimana Raja saya di Pahang termasuk Tengku Mahkota Pahang sentiasa turun padang melihat keadaan rakyat, mendengar masalah masyarakat dan membantu rakyat tanpa mengira kaum.

“Sebab itu saya rasa tidak wajar apabila ada pihak termasuk ahli politik terutama mantan Ahli Parlimen, Tony Pua mengeluarkan kenyataan menyentuh soal kuasa Raja-Raja sehingga dilihat merendahkan institusi diraja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, walaupun Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk memperkecil atau meremehkan kedudukan Raja-Raja Melayu.

“Jangan kerana bercakap soal kuasa terhad, maka institusi diraja dipandang rendah. Raja-Raja Melayu tetap mempunyai kedudukan yang sangat penting dalam negara dan dihormati rakyat.

“Malah ada juga pihak yang menerima darjah kebesaran dan pengiktirafan daripada institusi diraja, tetapi pada masa sama mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan persepsi tidak menghormati Raja-Raja Melayu,” katanya.

Malah tegasnya lagi,  kenyataan seperti itu tidak boleh dinormalisasikan kerana akan memberi kesan terhadap keharmonian masyarakat.

“Kita hidup dalam negara berbilang kaum dan agama. Sebab itu semua pihak perlu menjaga adab dan sensitiviti apabila bercakap mengenai Raja-Raja Melayu.

“Jangan jadikan kenyataan seperti ini sebagai normalisasi dalam politik negara kerana rakyat masih meletakkan penghormatan tinggi kepada Institusi Diraja,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN