SHAH ALAM: Pelakon dan pelawak, Azlee Senario akan selalu mengenang jasa yang diberikan Allahyarham Jalil Hamid yang menjadi individu penting dalam penubuhan awal kumpulan Senario pada awal 2000.
Jelas Azlee atau Muhammad Azlee Jaafar, 58, Jalil merupakan guru awal Senario yang banyak mengingatkan tentang mutu lakonan hingga disiplin sebagai anak seni.
“Pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar untuk industri hiburan tanah air yang tiada galang gantinya.
“Banyak jasa arwah kepada Senario. Semasa penggambaran sitkom dahulu, dialah yang banyak beri tunjuk ajar kami seperti cara menggunakan pentas dengan betul, cara menguasai ruang dan teknik lakonan yang berkesan,” katanya.
Azlee ditemui Utusan Malaysia di Masjid Al-Munawwarah, di sini, pada Isnin.
Tambah Azlee, pada awalnya dia tidak mempercayai khabar pemergian Jalil yang diterima menerusi WhatsApp, namun terus menghubungi anak Jalil, Afiqah untuk mendapatkan pengesahan.
“Saya ini jenis yang tidak mudah percaya dengan berita media sosial selagi tidak mendapat pengesahan daripada pihak yang betul seperti Seniman atau Karyawan.
“Namun, selepas saya sendiri menghubungi anak arwah dan dia mengesahkan ayahnya sudah tiada, barulah saya ambil tanggungjawab maklumkan kepada rakan-rakan artis yang lain.
“Tadi saya sempat hubungi rakan-rakan Senario yang lain. Wahid dan Pak Ya kini berada di Ipoh, mereka semua terkeju dan menangis dengan khabar ini,” katanya.
Kali terakhir Azlee bekerjasama dengan Allahyarham adalah menerusi sebuah naskhah drama yang menjalani penggambaran di Kuang, Selangor beberapa tahun lalu.
Walaupun mengetahui Allahyarham sudah lama menderita sakit sebelum ini, Azlee berkata mereka sentiasa mendoakan kesihatan arwah dan terkejut apabila tahap kesihatannya merosot secara tiba-tiba selepas kembali aktif.
“Apapun, kita sedekahkan Al-Fatihah buat arwah. Mudah-mudahan arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
“Kepada keluarga, harap tabah menghadapi ujian ini kerana Allah lebih sayangkan dia,” katanya.
Terdahulu, Allahyarham Jalil Hamid dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di kediamannya sekitar pukul 12.30 tengah hari tadi.
Berita itu dikongsikan anaknya, Afiqah Jalil menerusi Instagram.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21 selepas solat Asar.
Sepanjang hajatnya Allahyarham disegani kerana bakatnya sebagai pelakon, penyanyi dan pelawak.
Allahyarham pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-13 menerusi filem Baginda.
Allahyarham Jalil juga meraih trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama pada Anugerah Skrin 2016 bagi drama Calon Syurga dan Pelakon Lelaki Terbaik Filem pada Anugerah Telenovela 2018 melalui lakonan mantap dalam filem Bisik Pada Langit. -UTUSAN









