Inisiatif Pengawal Sempadan Malaysia diperluas, prestasi kumpulan fasa pertama dinilai - Saifuddin

Inisiatif Pengawal Sempadan Malaysia diperluas, prestasi kumpulan fasa pertama dinilai – Saifuddin

SAIFUDDIN Nasution Ismail meninjau pengoperasian Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) bagi kemudahan pelepasan pelancong dengan lebih pantas pada program Citra Negara ketika di KLIA. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Inisiatif Pengawal Sempadan Malaysia (MBG) di bawah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan diperluaskan keanggotaannya pada masa depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan melihat prestasi kumpulan pertama MBG itu terlebih dahulu dan terbuka untuk menambah pengambilan jika ia memberi nilai tambah kepada AKPS.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai peruntukan untuk mengambil sehingga 200 MBG tahun ini membabitkan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Setakat ini, 50 orang telah menyelesaikan (pengambilan) fasa pertama. Mereka akan ditempatkan di beberapa pintu masuk termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pelabuhan Klang,” katanya selepas melakukan lawatan kerja pengoperasian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, secara prinsipnya, anggota AKPS akan diberikan fasiliti persenjataan dan sedang mempertimbangkan penggunaan senjata renjatan elektrik sebagai permulaan kerana tidak semua situasi memerlukan senjata api.

“Namun, hala tuju kita jelas bahawa AKPS akan menuju ke arah penggunaan senjata, terutama bagi kawasan berisiko tinggi.

“Mereka telah dilatih dari segi psikologi dan kemahiran untuk menghadapi pelbagai ancaman di sempadan negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN