PETALING JAYA: Pelakon, Atiq Azman mendedahkan dia dan isteri menjadi mangsa penipuan seorang individu yang mendakwa sebagai perancang majlis bagi majlis akikah buat cahaya mata sulungnya.
Menurut hantaran yang dimuat naik, Atiq atau Raja Mohammad Atiqullah Syah Raja Azman Syah, 26, meluahkan rasa terkilan kerana majlis yang dirancang sejak sekian lama itu sepatutnya berlangsung dalam masa seminggu sahaja lagi dan turut melibatkan beberapa perancangan istimewa bersama tetamu kehormat.
“Sepatutnya lagi seminggu ini menjadi hari paling bermakna untuk anak saya iaitu Majlis Aqiqah dan Tahniq bersama Ustaz Wadi yang kami sudah rancang sekian lama,” katanya menerusi hantaran di Threads, semalam.
Menurut Atiq, segala persiapan majlis tersebut telah diuruskan melalui individu terbabit yang memperkenalkan diri sebagai pemilik sebuah dewan acara serta mempunyai rangkaian kenalan dalam industri.
“Tapi tak sangka, kami kena tipu dengan orang yang mengaku pemilik dewan di Klassy Space dan mendakwa mempunyai hubungan rapat dengan pembantu peribadi (PA) pendakwah selebriti Ustaz Wadi Annuar, penyampai radio Radin serta kumpulan marhaban di sekitar Puchong,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kerugian yang dialami, Atiq mendedahkan dia dan isteri telah membuat bayaran hampir sepenuhnya bagi tujuan tempahan majlis berkenaan.
“Semua bayaran hampir sudah selesai cuma tinggal sedikit jumlah sahaja lagi perlu dibayar pada hari Sabtu (semalam),” katanya.
Bagaimanapun, dia mula menyedari wujud keraguan apabila beberapa urusan berkaitan tempahan tidak dapat disahkan seperti yang dijanjikan sebelum ini.
“Di media sosial memang nampak betul tapi sebaliknya sampai sekarang dia masih nak tunggu bayaran terakhir kami,” katanya.
Tambah Atiq, kekecewaannya bukan bukan sekadar melibatkan kos kewangan, sebaliknya turut membawa nilai sentimental yang telah lama dinantikan sejak kehamilan lagi.
Katanya, perkongsian dibuat bukan bertujuan meraih simpati, sebaliknya sebagai peringatan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati dalam urusan tempahan perkhidmatan di media sosial.
“Saya kongsi ini bukan nak raih simpati, cuma nak ingatkan supaya lebih berhati-hati apabila membuat persetujuan dengan mereka yang cuba menipu,” ujarnya.
Susulan kejadian itu, Atiq memaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut terhadap individu terbabit.
Walaubagaimanapun, Atiq tidak mendedahkan jumlah kerugian keseluruhan yang dialaminya namun memohon doa orang ramai agar urusannya dipermudahkan.










