PETALING JAYA : Seramai 20 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi bersepadu di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) arah selatan, semalam.
Mereka yang ditahan berusia antara 23 hingga 40 tahun terdiri daripada 11 lelaki dan tujuh wanita warganegara Indonesia serta dua lelaki warganegara Bangladesh.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi tersebut dilakukan hasil aduan awam dan risikan selama seminggu.
“Siasatan awal mendapati majikan menggunakan modus operandi menggajikan warga asing di pusat perniagaan dan kiosk dalam kawasan R&R dengan menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) milik syarikat lain selain menyalahgunakan pas lawatan sosial bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kesemua warga asing itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Selain itu, jelasnya, lima Borang 29 iaitu Saman kepada Saksi turut dikeluarkan kepada warganegara Malaysia bagi membantu siasatan.
“Semua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Tegas Zakaria, JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram, tinggal lebih masa atau menyalahgunakan pas, termasuk tindakan tegas terhadap majikan yang menggaji serta melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).-UTUSAN










