GUA MUSANG: Ekspedisi menawan tiga puncak gunung berakhir tragedi apabila seorang ibu tunggal maut selepas tergelincir sebelum terjatuh ke dalam Sungai Betis, Pos Balar di sini, semalam.
Mangsa berusia 56 tahun itu dilaporkan hilang sejak malam Sabtu lalu ketika menyertai kumpulan 11 pendaki dalam misi mendaki Gunung Gerah, Gunung Bilah dan Gunung Biyed.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, semasa melalui kawasan Sungai Betis kira-kira pukul 7.30 malam pada 2 Mei lalu, mangsa dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai.
“Usaha pencarian segera dilakukan oleh ahli kumpulan namun mangsa gagal ditemukan pada malam kejadian.
“Mangsa kemudian ditemukan kira-kira pukul 8 pagi kelmarin sekitar 300 meter dari lokasi kejadian dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dipercayai meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Choon Foo berkata, mangsa adalah seorang ibu tunggal dan berasal dari Kuala Lumpur.
Katanya, Ibu pejabat Polis Daerah Gua Musang menyelaras operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi mengeluarkan mayat mangsa dari lokasi kejadian.
“Operasi tersebut berdepan cabaran besar kerana pasukan penyelamat terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda selama kira-kira empat jam sebelum meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki hampir 10 jam ke lokasi kejadian yang terletak di kawasan pedalaman.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN










