ALOR SETAR: Sebuah hotel di bandar raya ini yang tular kerana kotor diambil tindakan segera oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) selepas satu pemeriksaan mengejut dilakukan semalam.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, pemeriksaan itu dijalankan bersama Jabatan Kesihatan Persekitaran Bahagian Penguatkuasaan serta Bahagian Pelancongan dan Kebudayaan.
“Susulan tular sebuah video di media sosial yang memaparkan ketidakpuasan hati seorang pengunjung tentang kebersihan premis itu, satu tindakan bersepadu dilakukan semalam dengan dua kompaun dan satu notis diberikan kepada hotel berkenaan.
“Tindakan penguatkuasaan itu diambil selepas pemeriksaan dibuat ke atas beberapa bilik termasuk bilik yang diadukan oleh pengunjung tersebut. Keseluruhan tahap kebersihan adalah tidak memuaskan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, tindakan serta-merta diambil atas kesalahan gagal menyelenggara premis dengan baik sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Hotel (MBAS) 2010 berhubung kebersihan premis.
“Notis di bawah UUK itu memberikan tempoh tujuh hari kepada pihak hotel bagi tujuan pembetulan dan penambahbaikan, sementara kompaun mengikut Undang-Undang Mencegah Kekotoran (PBTNK) 1983 pula atas kegagalan menjaga kebersihan bahagian dapur kerana perangkap minyak rosak sehingga menyebabkan kekotoran sisa makanan,” katanya.
Semalam, tular di media sosial tentang keluhan seorang pengunjung dari Negeri Sembilan yang mendaftar masuk ke sebuah hotel di sini yang didakwa kotor terutama di bahagian tandas bilik yang ditempahnya.
Perkara tersebut mengakibatkan lelaki berkenaan serta keluarganya terpaksa mendaftar keluar dari hotel tersebut serta-merta sebelum menempah hotel lain di bandar raya ini. – UTUSAN










