Hendak masuk universiti, SPM tetap asas syaratnya - Zambry

Hendak masuk universiti, SPM syarat asasnya – Zambry

SPM
ZAMBRY Abd. Kadir (tengah) melawat reruai pameran semasa hadir merasmikan Program Kembara Pendidikan Tinggi@Terengganu dan Program Kampung Angkat Madani di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong, Kuala Berang, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kekal menjadi asas utama syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menerusi sistem Unit Pusat Universiti (UPU) Online.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, keputusan itu dipersetujui kerajaan dan diputuskan di peringkat Kabinet bagi memastikan dasar kemasukan ke universiti terus selaras dengan sistem pendidikan negara.

Beliau berkata, walaupun pelajar datang daripada pelbagai aliran pendidikan termasuk sekolah agama, syarat asas kemasukan ke universiti tetap berpandukan keputusan SPM.

“Kita telah tekankan dan kerajaan melalui Kabinet membuat keputusan bahawa untuk masuk ke mana-mana universiti, SPM adalah asasnya. 

“Tidak kiralah sama ada pelajar itu belajar di sekolah biasa, sekolah agama atau mana-mana institusi lain, asas kemasukan ke peringkat UPU adalah SPM,” katanya selepas Majlis Peluncuran Program Kembara Pendidikan Tinggi@Terengganu dan Penyerahan Kampung Angkat Madani Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong, di sini hari ini.

Zambry berkata, kerajaan tidak menetapkan kemasukan ke universiti berdasarkan sijil atau sistem lain di luar ketetapan sedia ada.

“Kita tidak buka atas nama ada keputusan lain, subjek lain ataupun sijil lain. Kalau hendak masuk UPU dan IPTA, asasnya itu sahaja,” katanya.

Mengulas dakwaan kononnya berlaku diskriminasi terhadap pelajar sekolah agama, beliau berkata, kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana golongan.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan menggalakkan semua pelajar termasuk dari institusi pondok dan sekolah agama untuk menduduki peperiksaan SPM bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke universiti.

“Kita tidak mendiskriminasikan sesiapa. Cuma ada pihak yang memanipulasikan isu ini dengan mengatakan kita membandingkan sekolah agama dengan sekolah lain. Sebenarnya kedua-duanya mempunyai sistem yang berbeza dan kita tidak meletakkan satu lebih tinggi daripada yang lain,” katanya.

Beliau berkata, walaupun terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan dasar tersebut, kerajaan tetap berpegang kepada prinsip bahawa SPM merupakan asas utama kemasukan ke universiti di negara ini.

Sementara itu, beliau berkata, Program Kembara Pendidikan Tinggi akan diperluas ke seluruh negara sebagai pendekatan baharu dalam memperkukuh hubungan institusi pengajian tinggi dengan masyarakat.

Katanya, usaha itu bertujuan memastikan universiti tidak hanya berperanan sebagai institusi di ‘menara gading’, sebaliknya turun padang menyumbang kepakaran dan ilmu kepada komuniti.

“Kita mahu ini menjadi satu pendekatan baharu dalam dunia pendidikan tinggi supaya universiti bukan hanya berada di menara gading tanpa turun menyumbang kepada masyarakat. Kita harap usaha sebegini dapat memberi manfaat kepada masyarakat keseluruhannya di mana sahaja mereka berada,” katanya.

Menurut beliau, program Kembara Pendidikan Tinggi diwujudkan bagi menghimpunkan penglibatan universiti, politeknik dan kolej komuniti dalam membantu pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat.

Katanya, program tersebut bukan dilaksanakan secara sekali sahaja sebaliknya diteruskan secara berkala bagi memastikan impak berterusan kepada masyarakat termasuk kerjasama dengan sekolah-sekolah luar bandar.

“Kita kenal pasti 12 sekolah untuk dibantu terutama dalam membuka ruang pengetahuan kepada pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN