PETALING JAYA: Halal Development Corporation Berhad (HDC), agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), mengumumkan pelantikan Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh sebagai Pengerusi baharu berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan HDC, pelantikan itu merupakan langkah strategik bagi memperkukuh kepimpinan agensi dalam usaha memperluas kedudukan Malaysia sebagai hab global industri halal.
Sebagai agensi utama yang bertanggungjawab membangunkan ekosistem halal bersepadu negara di bawah mandat MITI, HDC juga berperanan selaku sekretariat kepada Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia.
“Sebagai Pengerusi, Prof. Dr. Mohd Afandi akan memikul tanggungjawab memperkukuh kerjasama antarabangsa, mempertingkatkan kepimpinan dasar serta memperluas jaringan diplomasi ekonomi halal di peringkat global,” katanya.
Prof. Dr. Mohd Afandi kini merupakan Profesor dalam bidang Hubungan Antarabangsa di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang akademik serta pentadbiran universiti.
Sebelum ini, beliau pernah memegang jawatan selaku Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni di universiti berkenaan, selain terlibat aktif dalam pembangunan dasar pendidikan tinggi serta jaringan antarabangsa.
Dalam bidang antarabangsa, beliau mempunyai kepakaran khusus dalam undang-undang antarabangsa, isu kemanusiaan serta hubungan global, termasuk penglibatan dalam proses Kajian Berkala Sejagat (UPR) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau juga aktif dalam pelbagai jaringan akademik seperti Rangkaian Universiti ASEAN dan misi kemanusiaan global, termasuk penyertaan dalam misi Freedom Flotilla ke Gaza sebelum ini.
Dari segi latar belakang akademik, beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Hubungan Antarabangsa dari Universiti Durham, Sarjana Undang-Undang Antarabangsa dari Universiti Lancaster, serta Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Sehubungan itu, HDC menzahirkan keyakinan bahawa pengalaman kepimpinan, jaringan antarabangsa, serta kepakaran beliau akan memperkukuh pembangunan industri halal negara ke tahap yang lebih tinggi.
Langkah ini juga dijangka dapat mempercepatkan usaha Malaysia untuk memperkukuh kedudukan sebagai pusat utama perdagangan, pelaburan, dan inovasi halal dunia, di samping meningkatkan kerjasama strategik dengan pemain industri global. –UTUSAN










