Hasrat sambung belajar tak kesampaian

Hasrat sambung belajar tak kesampaian

WAH Tee Tun (duduk, kanan) tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan detik cemas kemalangan ngeri di Jalan Losong Feri, Kuala Terengganu yang mengorbankan anaknya. – UTUSAN/ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Hasrat seorang remaja menyambung pengajian dalam bidang automotif tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Losong Feri, di sini, kelmarin.

Dalam nahas kira-kira pukul 3.40 petang itu, mendiang Wah Han Keong, 18, bersama bapa­nya dalam perjalanan dari rumah mereka di Manir, di sini menuju ke pusat bandar sebelum van jenis Nissan Vanette dinaiki mereka terlibat kemala­ngan dengan sebuah Volkswagen Golf GTI.

Kemalangan itu mengakibatkan tiang lampu milik Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dilanggar tumbang dan menembusi bahagian van sehingga terkena mangsa yang berada di kerusi penumpang hadapan, manakala dua lagi individu dilaporkan cedera ringan.

Han Keong yang sedang me­nunggu keputusan permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) untuk melanjutkan pengajian ke Politeknik Dungun atau institusi sama di Kota Bharu, Kelantan, meninggal dunia akibat kece­deraan parah.

Bapanya, Wah Tee Tun, 49, berkata, anak sulung daripada dua beradik itu sangat meminati bidang automotif dan sudah membuat pelbagai persiapan bagi menyambung pengajian.

“Keputusan UPU sepatutnya keluar dalam sehari dua lagi. Semua persiapan telah kami lakukan, namun reda perancangan untuk melihatnya menyambung pengajian tidak kesampaian.

“Dia memang minat bidang automotif dan berharap dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang itu,” katanya ketika di­temui pada upacara pengkebumian di Jalan Syed Zain, di sini, semalam.

Menceritakan kejadian ber­kenaan, Tee Tun berkata, dia bersama anaknya itu dalam per­jalanan ke bandar untuk me­lakukan kerja-kerja pendawaian sebelum sebuah kereta dari arah bertentangan dipercayai dipandu laju tiba-tiba terbabas.

Menurutnya, kereta terbabit kemudian melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh van dinaiki mereka.

“Kesan rempuhan itu sangat kuat sehingga menyebabkan sebatang tiang lampu patah lalu tercampak ke arah van kami dan terkena tepat pada leher anak saya.

“Saya cuba memanggil dan menggerakkan badannya tetapi ketika itu saya dapati kepalanya sudah terputus dan berada di bawah kaki. Badannya tidak me­ngalami kecederaan,” katanya.

Tee Tun yang tinggal di Banggol Peradong, Manir menyifatkan mendiang sebagai seorang anak yang baik, rajin, jujur dan sentiasa membantu keluarga.

Katanya, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mendiang sering membantunya be­kerja dan tidak pernah merungut walaupun dimarahi ketika me­lakukan pekerjaan.

“Dia tidak pernah melawan atau membantah. Walaupun kadangkala saya berkasar ketika bekerja, dia hanya senyum sahaja,” katanya

Menurutnya, keluarganya akan mendapatkan khidmat peguam untuk mengambil tindakan undang-undang kerana insiden itu bukan berpunca daripada ke­cuaian mereka selain mempu­nyai rakaman video kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN