PETALING JAYA: Pelakon, Amyza Adnan, 50, tidak menyangka hasratnya bersama anak, Adrian Adam, 18, untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci bakal menjadi kenyataan apabila ada pihak tampil menawarkan tajaan bagi menunaikan umrah.
Menurut Amyza, berita itu disifatkan sebagai khabar paling manis diterimanya sempena sambutan Aidiladha hari ini.
“Ini berita paling manis sempena Hari Raya Haji. Rasanya hadiah ini lebih bernilai daripada yang lain,” katanya ringkas kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Amyza berkata, individu yang enggan didedahkan identitinya itu merupakan pemilik sebuah syarikat pelancongan yang tersentuh selepas membaca hantaran dimuat naik rakannya mengenai impian Adrian untuk ke Mekah.
“Ini memang impian Adrian. Dia terlalu ingin menunaikan umrah. Sejak awal dia didiagnosis sakit, dia pernah meluahkan hasrat untuk ke sana.
“Memang benar doa boleh dipanjatkan di mana-mana dan semuanya makbul, tetapi dia sangat teringin untuk berada di Tanah Suci dan berdoa sendiri di sana.
“Namun, dia hanya berkongsi perkara itu dalam kalangan keluarga dan kenalan rapat sahaja. Dia tidak pernah bercakap mengenainya kepada media atau memuat naik sebarang hantaran di media sosial.
“Malah dengan jurusolek, Nadia sekalipun, dia tidak pernah berbual tentang perkara itu. Tetapi saya tidak tahu bagaimana Nadia boleh mendapat ‘instinct’ tersebut, mungkin selepas melihat Adrian menunaikan solat di rumahnya.
“Apabila pemilik syarikat pelancongan itu melihat video yang dimuat naik serta membaca kapsyen yang ditulis, mungkin hatinya tersentuh untuk membantu,” katanya. -UTUSAN










