
MEKAH: Bermula hanya dengan simpanan RM10 sebulan, disiplin serta pengorbanan seorang ibu akhirnya menghadiahkan pengalaman paling bermakna buat keluarganya apabila 10 adik-beradik berjaya menunaikan ibadah haji bersama pada musim ini.
Menurut Muhammad Huzair Zakhal, 39, ibunya, Azizah Zaudi, 69, telah membuka akaun simpanan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk semua anak sejak kecil sebagai persediaan awal menjejakkan kaki ke tanah suci pada masa depan.
Katanya, hasil tabungan itu, mereka berjaya didaftarkan untuk menunaikan haji seawal tahun 2009 dengan simpanan asas sebanyak RM1,300 setiap seorang.
“Emak kami mulakan dengan simpanan RM10 sebulan untuk setiap anak, kemudian meningkat kepada RM20. Lama-kelamaan jumlah itu akhirnya mencukupi untuk pendaftaran haji.
“Selain itu, duit raya kami juga disimpan ke dalam Tabung Haji. Hasilnya, kami hanya dapat merasai nikmat menunaikan haji pada tahun ini. Selepas itu, akaun tersebut diserahkan kepada kami untuk diuruskan sendiri sehingga mencukupi bagi menunaikan ibadah haji,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Muhammad Huzair berkata, hasrat ibu bapanya untuk melihat semua anak menunaikan haji bersama hampir tidak tercapai apabila ada dalam kalangan mereka yang belum cukup simpanan.
Bagaimanapun, ibunya sanggup membantu melengkapkan baki simpanan demi memastikan kesemua mereka dapat berangkat bersama.
“Emak kata dia sanggup tanggung supaya semua anak dapat pergi bersama. Itu memang hajat mak ayah kami sejak dahulu,” katanya.
Menurut beliau, perjalanan ke tanah suci itu turut disertai enam ipar, sekali gus menjadikan 17 ahli keluarga berangkat bersama menunaikan ibadah haji.
Katanya, bapanya merupakan pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak, manakala ibunya pernah berkhidmat sebagai tenaga pengajar sebelum menjadi suri rumah sepenuh masa.
Ibunya kini mengajar al-Quran di rumah dan memainkan peranan besar dalam membentuk disiplin kewangan serta pendidikan agama dalam keluarga.
“Emak bukan sahaja mengajar kami menabung, malah mendidik kami dengan al-Quran, hadis dan kepentingan ikhlas dalam beribadah,” katanya.
Menurut Muhammad Huzair, tradisi menabung itu kini diteruskan kepada generasi seterusnya apabila setiap anaknya telah membuka akaun Tabung Haji, malah sebahagian telah didaftarkan untuk menunaikan haji pada masa hadapan.
“Kami juga meneruskan amalan sama seperti mak ayah dulu, termasuk menyimpan duit raya anak-anak dalam Tabung Haji.
“Harapan kami supaya generasi seterusnya juga dapat merasai pengalaman menunaikan haji bersama keluarga,” katanya. – UTUSAN










