TAIPING: Harapan untuk membawa pulang tiga ekor gajah Malaysia yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji di Osaka, Jepun masih belum menemui kata putus.
Pengerusi Sekretariat Bahana Kesejahteraan Negara, Datuk S. Kalai berkata, kemungkinan untuk haiwan berkenaan dibawa pulang atau terus kekal di negara itu masih berada pada tahap ‘50-50’.
Menurutnya, pertemuan beliau bersama Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Mohamed Akmal Dahalan di sini hari ini bagi membincangkan isu kebajikan gajah Malaysia di Jepun, belum dapat mencapai kata putus berhubung isu tersebut.
“Pertemuan hampir sejam itu memberi sedikit perkembangan positif, namun masih belum memberikan jaminan konkrit berhubung hasrat rakyat untuk membawa pulang khazanah negara tersebut.
“Kami telah menyampaikan secara terus hasrat rakyat Malaysia yang mahu gajah-gajah ini dibawa pulang ke habitat asal mereka.
“Namun setakat pertemuan hari ini, belum ada keputusan muktamad. Apa yang dimaklumkan kepada kami, kemungkinan untuk membawa pulang haiwan berkenaan masih ‘50-50’ dan tiada tarikh khusus dapat diberikan buat masa ini,” katanya.
Menurut beliau, Mohamed Akmal memaklumkan pihaknya sedang melakukan penelitian menyeluruh terhadap semua fakta dan laporan berkaitan sebelum sebarang keputusan rasmi dibuat.
Katanya, faktor teknikal, saintifik serta keadaan cuaca semasa antara perkara yang perlu diperhalusi sebelum proses pemindahan boleh dilakukan.
“Penjelasan itu kami boleh terima dari sudut saintifik, namun rakyat tetap mahukan satu kepastian, bukan sekadar kenyataan yang meredakan keadaan.
“Ini bukan sekadar isu biasa, ini melibatkan khazanah negara dan sentimen rakyat Malaysia. Kita mahu penilaian dibuat secara bebas dan telus supaya rakyat mendapat gambaran sebenar, bukan sekadar berdasarkan laporan di atas kertas.
“Jika benar tiada masalah, tunjukkan kepada rakyat. Tetapi jika wujud unsur pengabaian atau tekanan terhadap haiwan-haiwan ini, tindakan segera mesti diambil,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga dimaklumkan Mohamed Akmal sedang mempertimbangkan untuk melakukan audit sendiri ke Jepun bagi melihat keadaan sebenar sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“SBKB akan terus mendesak supaya gajah-gajah berkenaan dibawa pulang kerana ia merupakan sebahagian daripada khazanah negara yang wajar dipelihara di tanah air sendiri,” katanya. – UTUSAN










