Hairul raih RM40,000 di Sri Menanti, muncul juara JORAN FEST

Hairul raih RM40,000 di Sri Menanti, muncul juara JORAN FEST

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Seekor ikan belukang seberat 2.22 kilogram (kg) melayakkan pemancing dari Johor muncul juara Siri 1 JORAN FEST 2026/2027 sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM40,000, baru-baru ini.

Mohd Hairul Tumiran, 36, dari Johor Bahru menewaskan lebih 1,500 peserta pertandingan memancing itu yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM178,500.

Beliau menerima hadiah kemenangan itu yang diserahkan bersama oleh Pegawai Daerah Muar, Zainal Eran; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, Selamat Takim, pada majlis penutup serta penyampaian hadiah di Pantai Mesra, Sri Menanti dekat sini.

Naib juara ialah Jainudin Lunane, 51, yang menerima wang tunai RM8,000 selepas menaikkan ikan gemang seberat 1.24 kg seawal jam 9.58 pagi.

Pemenang ketiga, Mohd Shaiful Ahmad, 37, yang meraih wang tunai RM5,000 selepas memancing ikan gemang seberat 1.18 kg. Pemenang ke-4 hingga ke-50 masing-masing menerima wang tunai RM500.

Pemenang ke-51 hingga ke-300 pula mendapat RM400. Pertandingan memancing empat jam itu merekodkan lebih 600 tangkapan pelbagai jenis spesies ikan termasuk belukang, gemang, sembilang, duri, malong, gelama, pari serta tuka.

Siri 1 JORAN FEST 2026/2027 dianjurkan Persatuan Pelancongan Eko dan Pelancongan Pendidikan Negeri Johor dengan kerjasama Koperasi Pembangunan Usahawan Johor Darul Takzim Berhad (KPUJDT) dan Persatuan Generasi Memancing Negeri Johor (PGMNJ); Pejabat Daerah Muar serta beberapa agensi berkaitan.

Pertandingan ini mendapat sokongan penaja iaitu Explorer Composite Sdn Bhd, sebuah syarikat pengilang bot dari Melaka; dan Superbest Power (M) Sdn Bhd, yang menghasilkan serbuk kopi pra-campuran dan koko berkhasiat dari Petaling Jaya.

Pantai Mesra bakal menjadi lokasi 10 siri JORAN FEST 2026/2027 yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM1.785 juta.

Untuk pusingan Grand Slam, juara akan memandu pulang sebuah Toyota Hilux yang dianggarkan berharga lebih RM100,000.

JORAN FEST 2026/2027 dianjurkan dengan matlamat menyokong Tahun Melawat Johor 2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 serta mempromosikan pelancongan berasaskan komuniti (CBT) khususnya melibatkan destinasi dan produk pelancongan pantai kepada pengunjung domestik mahupun pelancong asing.

Dengan menumpukan 10 siri JORAN FEST 2026/2027 di Pantai Mesra, ia akan memacu aktiviti ekonomi mahupun pembangunan dan impaknya dapat dirasai oleh komuniti setempat terutama kalangan peniaga makanan, perkhidmatan pelancongan serta peniaga kecil lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN