YALA (THAILAND): Polis Wilayah Yala menumpaskan sindiket penyeludupan dadah ke negara jiran apabila merampas hampir 100,000 biji pil kuda dalam serbuan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Daerah Yaha, kelmarin.
Dalam serbuan pukul 12.50 pagi itu, dua suspek berusia lingkungan 30-an dan 40-an ditahan untuk membantu siasatan dalam beberapa kes penyeludupan dadah rentas sempadan.
Penguasa Balai Polis Yaha, Kolonel Sayuti Kateh berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota melakukan intipan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Ban Bannangdama, Mukim Kabang.
Katanya, intipan mendapati seorang ahli sindiket tiba untuk menyerahkan dadah terbabit kepada seorang lagi suspek.
“Pasukan operasi terus menahan kedua-duanya sebelum pemeriksaan menemukan 96,960 biji pil kuda dengan berat kira-kura 8,726.4 gram
“Dua lelaki berusia 32 dan 40 tahun berasal dari Yarang, Pattani dan Kabang, Yala ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kabang untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Sayuti berkata, polis percaya kedua-dua suspek adalah anggota rangkaian penyeludupan dadah rentas sempadan di Selatan Thailand.
Katanya, kedua-duanya akan didakwa secara bersama menjual narkotik Kategori 1 untuk tujuan komersial, menyebabkan pengedaran dalam kalangan orang ramai dan menjejaskan keselamatan negara.-UTUSAN










