Gadis maut ditikam: Pelajar diingatkan patuhi arahan keselamatan di IPT

Gadis maut ditikam: Pelajar diingatkan patuhi arahan keselamatan di IPT

MOHAMMED FADZLI HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengingatkan semua pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di negeri ini supaya mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pusat pengajian masing-masing susulan kes seorang remaja ditemukan maut dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh pada Jumaat lalu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, kes berkenaan secara tidak langsung membuka mata ramai untuk meningkatkan aspek penjagaan keselamatan dalam kalangan pelajar di IPT.

“Kita sangat bersimpati dengan keluarga mangsa dan saya difahamkan pihak pengurusan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) sudah mengeluarkan arahan kepada semua pelajarnya supaya sentiasa berteman ketika keluar bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Kita harap ia bukan dikuatkuasakan di KPTM sahaja dan kita nasihatkan anak-anak di pusat pengajian tinggi terutamanya, supaya sentiasa mengikuti arahan daripada pihak universiti atau institusi berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mohamed Fadzli berkata, golongan pelajar, remaja dan belia diingatkan kekal patuh kepada ajaran agama Islam yang sentiasa menitik beratkan aspek keselamatan serta penjagaan akhlak umatnya.

“Saya menyeru kepada semua pihak termasuk pelajar, sentiasa memastikan diri kita berada dalam keadaan selamat. Kalau boleh, tidak keluar terutamanya dengan bukan mahram yang bukan sahaja haram di sisi agama tetapi boleh mengelak daripada berlaku perkara tidak diingini seperti ini.

“Selebihnya kita minta pihak berkuasa, terutamanya polis untuk menyiasat apa sebenarnya berlaku dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN