KUALA LUMPUR: Mengadakan konsert solo pertama pada usia 56 tahun, penyanyi, Fauziah Latiff dilihat cuba mengawal sebak ketika menyanyikan salah satu lagu hitnya, Teratai Layu Di Tasik Madu semasa Konsert 4 Decades Fauziah Latiff Live In Kuala Lumpur, semalam.
Kira-kira 3,000 pengunjung di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) berpakaian putih turut menyanyikan lagu itu bersama-sama sambil memegang bunga mawar putih yang disediakan penganjur.
“Saya sebenarnya sangat berdebar untuk mengadakan konsert ini, namun kekuatan itu datang daripada sokongan anda semua. Terima kasih kepada penganjur, Ideatelier, kerana merealisasikan impian ini.
“Saya cuba berikan yang terbaik malam ini. Walaupun sedar mungkin ada kekurangan, saya berharap ini akan menjadi naskhah indah yang akan diingati semua sampai bila-bila,” katanya semasa konsert, semalam.
Di sebalik mata yang berkaca, artis yang mesra disapa Kak Jee ini sempat mencuit hati penonton dengan perkongsian jenaka mengenai kegusaran peminat terhadap faktor usianya.
“Ada peminat pesan, ‘Kak, nanti bila konsert jangan berubah, biarlah sama macam dulu-dulu’. Saya jawab, ‘Adik, agak-agaklah… kalau nak macam dulu, kena beri saya tempoh enam bulan (berlatih)’,” katanya disambut hilai tawa penonton.
Bagaimanapun, bagi pelantun suara yang sudah 40 tahun membina empayar seni ini, kasih sayangnya terhadap peminat tegar tidak pernah luntur ditelan zaman.
“Kasih sayang saya kepada anda yang membesar bersama irama lagu-lagu saya tidak pernah berubah.
“Kita semua melalui pengalaman hidup masing-masing, namun malam ini, Alhamdulillah saya dapat melihat wajah-wajah yang setia menyokong sejak dulu lagi,” ujarnya.
Malam penuh magis itu turut diserikan dengan kehadiran Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah yang muncul membuat kejutan menerusi segmen duet menerusi lagu Kehebatan Cinta.
Sepanjang tiga jam tempoh persembahan, Fauziah membuktikan vokalnya masih berbisa apabila berjaya membawakan deretan lagu hit seperti Setiaku Korbankan, Tua Mengejar Kita, Apa Sebenarnya, Dia, Batas Menanti dan Gubahan Rindu Puisi Syahdu.
Fauziah turut mengakui lagu Enggan merupakan antara karya paling mencabar untuk dipersembahkan secara langsung memandangkan ia menuntut lontaran nada yang tinggi.
Antara rakan artis yang hadir memberikan sokongan termasuklah Ziana Zain, Rozita Che Wan, Liza Hanim, Faradhiya, Amylea dan Azah Aziz. -UTUSAN










