Empat pekerja kurier didenda tidak puasa di bulan Ramadan

Empat pekerja kurier didenda tidak puasa di bulan Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,800 masing-masing kepada tiga pekerja kurier manakala seorang lagi RM1,900 selepas mengaku bersalah tidak berpuasa dalam kejadian berasingan, Mac lalu.

Mohd. Razif Mohd. Jali, 34; Muhamad Firdaus Husin, 28; Muhammad Aizam Baharom, 28, dan Mohamed Faiz Mat Isa, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di depan Hakim Dr. Wan Azimin Wan Adnan.

Mengikut pertuduhan yang dihadapi oleh Mohd. Razif dan Muhamad Firdaus, mereka didakwa menghisap rokok di tepi bangunan sebuah syarikat kurier di Wakaf Bharu di sini, kira-kira pukul 11.30 pagi pada 11 Mac lalu.

Muhammad Aizam dan Mohamed Faiz pula didakwa menghisap rokok di tepi lorong sebuah gudang syarikat kurier di Chabang Empat di sini, kira-kira pukul 10.50 pagi pada 17 Mac lalu.

Keempat-empat mereka dituduh mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 Negeri Kelantan iaitu tidak menghormati bulan Ramadan yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM2,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,800 terhadap Muhamad Firdaus, Muhammad Aizam dan Mohamed Faiz manakala Mohd. Razif pula didenda RM1,900 selain menetapkan penjara enam bulan sekiranya mereka gagal membayar denda tersebut.

Keempat-empat tertuduh membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN