Empat jawatan Exco dipangku Exco sedia ada

Empat jawatan Exco dipangku Exco sedia ada

AMINUDDIN Harun pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban, hari ini. - UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan tidak akan melantik barisan Exco baharu bagi mengisi empat kekosongan yang sebelum ini disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Barisan Nasional (BN).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tugasan bagi empat portfolio berkenaan akan dipangku Exco sedia ada buat sementara waktu.

Menurutnya, perkara itu telah dipersetujui kerajaan negeri bagi memastikan pentadbiran berjalan lancar seperti biasa.

“Tiada Exco baharu. Kita telah bersetuju supaya tugasan itu dipangku oleh Exco sedia ada,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di sini hari ini.

Beliau dalam pada itu berkata, pemilihan Exco baharu akan diumumkan nanti.

Empat Exco tersebut adalah Exco Kanan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa dan Perladangan dan Komoditi, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup (Datuk Seri Jalaluddin Alias); Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Modal Insan (Datuk Ismail Lasim); Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan (Datuk Mustapha Nagoor) dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital (Datuk Mohd. Faizal Ramli).

Pada 27 April lalu, 14 ADUN BN Negeri Sembilan dilaporkan hilang kepercayaan kepada Aminuddin sekali gus menarik sokongan terhadap kerajaan negeri kerana sangat berduka cita dan kecewa dengan krisis yang berlaku di negeri ini.

Susulan itu, lima ADUN pembangkang dari Perikatan Nasional (PN) dilaporkan sedia menyatakan sokongan kepada UMNO yang mendorong UMNO mengisytiharkan telah dapat majoriti mudah 19 kerusi daripada 36 kerusi DUN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN