PETALING JAYA: Kawalan di pintu masuk negara termasuk lapangan terbang dan pelabuhan perlu terus diperketat bagi mengelakkan risiko penularan Ebola ke Malaysia.
Pakar Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, pelawat atau rakyat yang tiba dari negara terjejas khususnya Afrika perlu menjalani saringan serta kuarantin sehingga tamat tempoh inkubasi sebelum dibenar dilepaskan.
Katanya, pendekatan itu bertujuan memastikan sebarang risiko jangkitan dapat dikenal pasti lebih awal selain membantu mengawal penularan penyakit berbahaya tersebut daripada merebak dalam komuniti.
“Malaysia perlu bersedia untuk mengelakkan jangkitan Ebola kerana penyakit itu sangat berbahaya dan berupaya menjangkiti manusia lain.
“Buat masa ini, tiada kes positif Ebola dilaporkan berada di Malaysia, namun langkah berjaga-jaga tetap perlu diperkukuh memandangkan pergerakan antarabangsa semakin meningkat dan risiko importasi kes masih boleh berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Kementerian Kesihatan (KKM) dilaporkan memperkukuh langkah kesiapsiagaan dan pemantauan susulan pengisytiharan penyakit Ebola disebabkan virus Bundibugyo sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 17 Mei lalu.
Mengulas lanjut, Dr. Sharifa Ezat berkata, peningkatan perjalanan antarabangsa ketika ini menyebabkan kawalan kesihatan di lokasi tumpuan awam seperti lapangan terbang dan pengangkutan udara perlu dipertingkatkan.
Katanya, individu yang dijangkiti Ebola mungkin belum menunjukkan simptom atau tanda penyakit walaupun sudah membawa virus berkenaan sekali gus meningkatkan risiko penularan tanpa disedari.
“Kita juga perlu sentiasa bersedia terutama ketika berada di luar negara, lapangan terbang, kapal terbang dan tempat lain sekiranya terdapat kontak dengan individu yang berada dalam tempoh inkubasi kerana mereka mungkin belum menunjukkan sebarang simptom atau tanda jangkitan.
“Dalam keadaan itu, jangkitan masih boleh berlaku tanpa disedari kerana individu terbabit mungkin kelihatan sihat walaupun berpotensi membawa virus berkenaan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengelakkan perjalanan ke negara di Sub-Sahara Afrika termasuk Congo dan Uganda yang mempunyai kes positif serta kes disyaki Ebola.
Katanya, langkah pencegahan awal dan pemantauan berterusan amat penting bagi memastikan situasi penularan wabak seperti pandemik Covid-19 tidak berulang di negara ini. – UTUSAN










