TENOM: Mahkamah Majistret di sini semalam memerintahkan pendakwah terkenal, Ebit Lew membela diri atas 11 pertuduhan gangguan seksual terhadap seorang wanita, kira-kira lima tahun lalu.
Keputusan itu dibuat Majistret Nur Asyraf Zolhani selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ebit Lew atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim, yang berusia 41 tahun, di akhir kes pendakwaan.
“Mahkamah berpendapat bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh bagi kesemua 11 pertuduhan, di mana semua elemen pertuduhan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan telah dibuktikan.
“Keterangan di akhir kes pendakwaan adalah mencukupi untuk sabitan direkodkan terhadap kamu berkenaan 11 pertuduhan tersebut sekiranya ia tidak disangkal atau tidak digugat oleh keterangan pembelaan,” katanya semasa membacakan keputusannya.
Nur Asyraf berkata, tertuduh mempunyai pilihan termasuk untuk memanggil saksi bagi pihaknya dalam membela diri.
Sementara itu, peguam Datuk Ram Singh yang mewakili Ebit Lew memaklumkan pihaknya akan memanggil tujuh hingga 10 saksi pembelaan dalam perbicaraan nanti.
Sebelum itu, mahkamah turut menetapkan tarikh perbicaraan yang seterusnya untuk beliau membela diri iaitu pada 13 hingga 16 Oktober, 11 hingga 13 dan 24 hingga 27 November serta 1 hingga 4 Disember tahun ini.
Dalam perbicaraan itu, Ebit Lew berhadapan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah yang bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Analia Kamaruddin dan Muhammad Hidayat Wahab.
Ebit Lew diwakili barisan peguam bela Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak dan Prem Elmer Ganasan. – UTUSAN









