PETALING JAYA: Perdana Menteri merakamkan ucapan tahniah kepada bintang filem India, C. Joseph Vijay yang kini merupakan Ketua Menteri Tamil Nadu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, para peminat setia Vijay menyaksikan beliau menewaskan ahli politik korup dan pelbagai penjahat selama bertahun-tahun menerusi filem dibintangi.
“Kini, rakyat Tamil Nadu telah memberikan Vijay tanggungjawab yang jauh lebih besar daripada mana-mana watak yang pernah dibawanya di layar perak.
“Oru Viral Puratchi (revolusi satu jari), kini berada di ambang mencipta sejarah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Vijay mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu selepas parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) berjaya memperoleh majoriti.
TVK muncul sebagai parti terbesar dengan 108 kerusi, namun masih gagal mencapai majoriti mudah 118 kerusi. Selepas Vijay mengosongkan satu daripada dua kerusi yang dimenanginya, kekuatan parti itu berkurangan kepada 107 kerusi.
Beberapa hari berikutnya menyaksikan rundingan intensif diadakan dengan parti-parti kecil bagi mendapatkan sokongan tambahan.
Indian National Congress (Congress) menjadi parti pertama menyatakan sokongan menerusi lima ahli dewan undangan negeri (MLA) dimilikinya.
Perkembangan paling penting berlaku apabila Viduthalai Chiruthaigal Katchi (VCK), Communist Party of India (CPI), Communist Party of India-Marxist (CPM) dan Indian Union Muslim League (IUML) masing-masing mengumumkan sokongan dengan dua MLA setiap parti.
Sokongan itu menjadikan jumlah keseluruhan kerusi disokong meningkat kepada 120 melepasi ambang majoriti 118 kerusi.
Anwar berkata, Malaysia menanti kerjasama erat dengan Vijay selepas ini.
“Malaysia dan Tamil Nadu berkongsi hubungan sejarah, budaya dan hubungan rakyat-ke-rakyat yang mendalam merentasi generasi.
“Saya menantikan kerjasama erat dengan Ketua Menteri Vijay pada tahun-tahun mendatang,” katanya. – UTUSAN










