KUBANG PASU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah membongkar taktik licik sindiket memindahkan minyak diesel secara haram di kawasan sunyi berhampiran tanah perkuburan Cina di Sungai Petani semalam.
Serbuan di kawasan lapang di Sungai Pasir, kira-kira pukul 2 petang itu dilakukan hasil risikan selama dua minggu oleh anggota risik KPDN.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN negeri, Zalina Aziz berkata, dua lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an dan 50-an didapati sedang memindahkan diesel dari sebuah lori kargo yang mempunyai tangki intermediate bulk container (IBC) ke dalam sebuah lori tangki.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang permit atau kebenaran sah bagi menyimpan barang kawalan tersebut.
Menurutnya, lori kargo terbabit mempunyai dua tangki IBC di bahagian belakang dan ditutup dengan kain kanvas bagi mengaburi kegiatan mereka.
“Minyak diesel disedut menggunakan pam dari tangki asal ke dalam tangki IBC berkenaan, kita mengesyaki diesel itu dikumpul sedikit demi sedikit sehingga penuh,” katanya pada sidang akhbar di Stor Penyimpanan Barang Eksibit KPDN Kedah di Tunjang, hari ini.
Zalina berkata, pihaknya merampas kira-kira 2,900 liter diesel dianggarkan bernilai RM44,848 dalam serbuan itu, selain menyita sebuah lori kargo, sebuah lori tangki, dua tangki IBC serta peralatan pemindahan dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM165,248.
Jelasnya, siasatan awal mendapati kes berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan satu lagi tangkapan pada 9 April lalu yang menggunakan modus operandi hampir sama, sekali gus tidak menolak kemungkinan ia didalangi sindiket yang sama.
“Sumber bekalan minyak diesel tersebut masih dalam siasatan dan belum dapat dipastikan sama ada diperoleh dari stesen minyak atau sumber lain. Kita juga tidak menolak kemungkinan diesel ini dijual kepada pihak industri, namun semua sudut termasuk elemen penyeludupan sedang disiasat,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.-UTUSAN









