TEMERLOH: Dara, Amoi dan Kelat disahkan bebas daripada sebarang unsur penderaan sepanjang ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun.
Ketua mahut dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah yang kini berada di Zoo Tennoji, Ali Gadong berkata, polemik kononnya tiga gajah Malaysia itu didera dan mengalami tekanan merupakan dakwaan tidak bersandarkan fakta.
Ali berkata, pemantauan sejak hari pertama ketibaan mereka pada 11 Mac lalu mendapati, Dara, Amoi dan Kelat menunjukkan tingkah laku semula jadi yang menjadi petunjuk utama kesejahteraan haiwan.
Mahut daripada etnik Orang Asli Che Wong itu berkata, antara petunjuk paling jelas adalah keupayaan gajah tidur dalam keadaan baring tanpa tekanan, selain aktif bergerak dan berinteraksi dalam kumpulan sosial.
“Perkara ini turut disahkan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) waktu malam yang memperlihatkan Dara, Amoi dan Kelat tidur secara santai, sekali gus menafikan dakwaan kononnya haiwan berkenaan mengalami penderitaan.
“Apabila gajah boleh tidur baring, itu tanda mereka benar-benar selesa dan tidak tertekan dengan persekitaran baharu,” katanya ketika dihubungi.
Ali berkata, rekod pemantauan berat badan menunjukkan peningkatan ketara bagi ketiga-tiga gajah sejak dihantar ke Jepun.
“Setiap hari, berat badan tiga gajah ini direkodkan dua kali iaitu pada sebelah pagi dan petang bagi memastikan pemantauan berterusan terhadap diet serta tahap kesihatan,” katanya.
Daripada aspek pemakanan, katanya, Dara dan Amoi lazimnya makan bersama di kawasan kandang manakala Kelat diasingkan sementara waktu kerana selera makannya yang lebih tinggi.
“Langkah ini bagi memastikan setiap gajah mendapat jumlah makanan mencukupi tanpa persaingan. Selepas makan, ketiga-tiganya dilepaskan ke kawasan pameran untuk aktiviti bebas termasuk berjalan, bermain dan berinteraksi tanpa sebarang sekatan atau rantai,” katanya.
Ali berkata, kehadirannya bersama dua lagi mahut, Suhaimi Ibrahim dan Mohd. Faizal Ahmad adalah sebahagian kerjasama teknikal bagi memastikan kebajikan haiwan berada pada tahap terbaik.
“Gajah-gajah di sini nampak sihat dan gembira. Mereka bebas mandi dan makan pada bila-bila masa serta ditempatkan dalam kumpulan sosial. Saya percaya dalam dua atau tiga tahun lagi, Kelat berpotensi untuk membiak,” katanya.
Sementara itu, Suhaimi yang menjaga Amoi berkata, gajah betina tersebut menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan selera makan baik dan tingkah laku aktif setiap hari.
“Amoi sangat aktif, makan dengan baik dan menunjukkan tingkah laku normal seperti bermain serta mandi. Ini petunjuk jelas dia berada dalam keadaan selesa,” katanya.
Mahut yang menjaga Dara, Mohd. Faizal pula berkata, gajah tersebut berada dalam keadaan stabil dengan peningkatan berat badan yang konsisten sejak beberapa bulan lalu.
Katanya, indikator paling mudah bagi menilai tahap kesejahteraan hidupan liar melalui perubahan berat badan.
“Kalau rakyat Malaysia mahu tahu cara paling senang untuk lihat gajah itu gembira, tengok pada berat badannya. Jika makanan mencukupi, tiada tekanan dan penyakit, berat badan meningkat serta berpotensi membiak.
“Sebaliknya jika tidak sejahtera, hidupan liar akan mengalami stres, gangguan tidur, kemurungan, hilang selera makan dan tiada kelahiran baharu sekiranya keadaan itu berpanjangan,” jelasnya.
Ketiga-tiga mereka menolak dakwaan tidak berasas yang tular dalam media sosial kononnya Kelat didera bagi tujuan program pembiakan atau telah dijual.
Mereka berkata, tuduhan seperti pengambilan sperma secara paksa dan dakwaan kehilangan Kelat daripada kawasan pameran adalah tidak benar dan berniat mengelirukan orang ramai.
Dalam pada itu, pengurusan Zoo Tennoji turut berkongsi pengalaman menjaga gajah Malaysia dengan menyatakan ketiga-tiganya memiliki keunikan karakter.
Zoo itu memaklumkan, Kelat mempunyai personaliti yang kuat dengan sifat tegas, namun sangat penyayang dan bergantung kepada penjaga.
Katanya, walaupun gajah Asia jantan lazimnya hidup bersendirian apabila dewasa, Kelat menunjukkan kecenderungan untuk sentiasa berada berhampiran dua gajah betina tersebut.
Dara pula digambarkan sebagai gajah yang berhati-hati dan bertanggungjawab dengan sering memerhati persekitaran serta perubahan tingkah laku penjaga.
Malah, Dara turut menunjukkan sifat pelindung terhadap Amoi dengan memastikan gajah muda itu sentiasa berada dalam keadaan selamat. – UTUSAN










