Cecah 1 bilion penstriman, bukti saya mampu bergerak independen - Yuna - Utusan Malaysia

Cecah 1 bilion penstriman, bukti saya mampu bergerak independen – Yuna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer terkenal, Yunalis Zarai mengakui tidak menyedari pencapaiannya meraih satu bilion penstriman di platform Spotify sehingga dimaklumkan oleh peminat.

Menurut Yuna, sepanjang bergelar anak seni, dia tidak pernah meletakkan angka penstriman sebagai sasaran utama, namun bersyukur atas kejayaan yang diraih itu.

“Alhamdulillah, sepanjang bergelar anak seni, saya tidak pernah menjangka akan mencapai kejayaan seperti ini.

“Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu mengenai berita itu kerana peminat yang berkongsi dengan saya.

“Walaupun mungkin ada yang menganggap saya artis besar, kejayaan ini terasa seperti tidak nyata buat saya namun, saya bersyukur dan gembira selagi masih ada yang mendengar lagu-lagu saya,” katanya.

Yuna berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu kolaborasinya bersama Aizat Amdan dan Sekumpulan Orang Gila menerusi single berjudul Ajar Aku di Roberts Theatre, The Campus Ampang.

Mengulas lanjut mengenai pencapaian tersebut, Yuna berkata jumlah penstriman tertinggi datang daripada pendengar di Amerika Syarikat, diikuti Malaysia.

“Kalau mengikut jumlah penstriman, pendengar dari Amerika Syarikat memang paling ramai, manakala Malaysia berada di tempat kedua.

“Saya sangat gembira kerana rakyat Malaysia masih setia mendengar lagu-lagu saya. Kejayaan ini saya anggap sebagai satu bonus,” katanya.

Tambah penyanyi itu, angka penstriman tersebut turut membuktikan kemampuannya untuk terus bergerak sebagai artis independen sambil menghasilkan karya berkualiti.

“Ia seperti hadiah selepas bertahun-tahun saya berkarya dan pada masa sama membuka satu bab baharu dalam perjalanan seni saya.

“Namun, saya tidak melihatnya sebagai perlumbaan untuk mencapai angka lebih besar. Saya hanya mahu fokus kepada projek seterusnya dan menghasilkan sesuatu yang memberi makna kepada hidup saya.

“Satu bilion penstriman ini membuktikan bahawa walaupun saya bergerak secara independen, saya masih mampu melakukannya,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan kerjayanya selepas ini, Yuna berkata dia mahu terus menghasilkan karya yang mampu menyentuh hati pendengar.

“Bagi saya, angka itu memang satu pencapaian, tetapi selepas itu saya akan fikir, apa lagi yang boleh saya hasilkan yang benar-benar bermakna dan mampu memperkayakan jiwa serta hidup saya?

“Kalau saya dapat lakukan perkara itu, saya sudah cukup gembira,” katanya.

Terdahulu, Yuna mencipta rekod baharu apabila menjadi artis Malaysia pertama yang mencecah satu bilion penstriman di Spotify dengan purata 3.7 juta pendengar sebulan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN