Kerajaan Sarawak telah mencadangkan seorang perunding baru untuk mengetuai rundingan dengan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) bagi mencari penyelesaian kepada tuntutan hak dan perkongsian hasil membabitkan sumber minyak dan gas di negeri itu.
Perunding berkenaan yang dikatakan berpengalaman dalam sektor minyak dan gas termasuk pernah berkhidmat dengan PETRONAS, telah dicadangkan kerajaan negeri Sarawak baru-baru ini untuk pertimbangan kerajaan pusat.
Perunding berkenaan mempunyai beberapa peranan dalam beberapa agensi yang dimiliki kerajaan negeri Sarawak termasuk berkaitan pengurusan dana.
Pelantikan perunding itu dibuat selepas PETRONAS dan kerajaan negeri Sarawak masing-masing memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan untuk mendapat pengesahan terhadap hak masing-masing terhadap sumber minyak dan gas di negeri itu.
Petisyen untuk pertimbangan mahkamah persekutuan itu dibuat selepas PETRONAS, Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) dan kerajaan negeri Sarawak gagal mencapai persetujuan bagaimana cara terbaik untuk menguruskan sumber hidrokarbon di negeri itu.
Rundingan berterusan sejak lebih setahun lalu gagal mencapai sebarang persetujuan, sekali gus menyebabkan gangguan terhadap operasi PETRONAS berikutan tiada hala tuju jelas bagaimana sumber itu harus diuruskan.
Kerajaan Sarawak mendakwa mereka mempunyai hak mutlak terhadap sumber asli itu dan beberapa perundangan yang diluluskan mengukuhkan tuntutan berkenaan.
PETRONAS pula menegaskan haknya mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) yang memberikan syarikat minyak nasional itu hak sepenuhnya dalam menguruskan kekayaan hidrokarbon negara termasuk di Sabah dan Sarawak.
PETRONAS yang telah menguruskan sumber hidrokarbon di Sarawak sejak Ogos 1974, telah memfailkan notis di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, untuk meminta mahkamah tertinggi itu menentukan sejauh mana capaian kuasa syarikat itu berdasarkan perundangan sedia ada.
Kerajaan negeri Sarawak bertindak balas dengan memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan kesahan perlembagaan dan sama ada tiga undang-undang persekutuan berkaitan petroleum terus terpakai di Sarawak.
Petisyen mempersoalkan Petroleum Development Act 1974, Continental Shelf Act 1966 dan Petroleum Mining Act 1966 terhadap Sarawak.
Negeri itu mendakwa tiga akta berkenaan menjejaskan serta menafikan hak Sarawak terhadap sumber asli termasuk minyak dan gas yang terdapat di dasar laut di kawasan pelantar benua dalam sempadan Sarawak, seperti yang diperluas dan ditakrifkan melalui perintah sempadan sebelum Hari Malaysia.
Kerajaan Sarawak dilaporkan berkata, walaupun memfailkan petisyen berkenaan, ia komited untuk meneruskan rundingan secara konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan bagi mencapai penyelesaian secara baik.
Sumber yang rapat dengan industri berkata sebarang usaha untuk meneruskan rundingan bagi menyelesaikan kemelut hak minyak dan gas itu disambut baik kerana isu ini sudah berlanjutan sekian lama dan menjejaskan industri itu.
Bagaimanapun, sumber berkenaan sebarang rundingan atau perunding harus sedia datang ke meja rundingan dengan pemikiran terbuka serta inginkan penyelesaian yang adil.
Sumber itu berkata, mana-mana perunding yang akan memihak kepada kepentingan kerajaan Sarawak atau mempunyai sebarang konflik kepentingan akan hanya menyebabkan rundingan akan datang gagal seperti sebelum ini.
Difahamkan kerajaan pusat masih menimbangkan cadangan nama perunding itu sebelum meluluskannya dan memulakan rundingan dengan PETRONAS.
Sumber yang rapat dengan perkembangan terkini itu berharap mana-mana individu yang dilantik tidak akan mempunyai sebarang pertindihan peranan atau kepentingan kerana ia akan menyukarkan sebarang penyelesaian yang tuntas.
“Mereka harus telus dan tidak mempunyai kepentingan lain yang akan mendorong kepada kegagalan rundingan atau memihak kepada satu pihak,” kata sumber itu.










