TEMERLOH: Detik cemas kehilangan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun sejak malam tadi berakhir kelegaan apabila mangsa ditemukam selamat di sebuah taman air di Kubang Gajah, di sini, petang ini.
Muhammad Thaqif Qayyum Fazreen dilaporkan hilang semalam di kawasan Car Boot Sale Temerloh ketika ibu dan bapanya sedang berniaga di situ.
Kehilangan kanak-kanak itu mencetuskan kebimbangan orang ramai selepas hebahan mengenainya tular dalam media sosial sejak pagi ini, sekali gus usaha pencarian digerakkan oleh ahli keluarga dan komuniti setempat sebelum dia ditemukan sedang mandi di taman tersebut.
Bapanya, Fazreen Mohd Noor, 35, berkata, pada awalnya dia tidak membuat laporan polis sebaliknya bertindak mencari sendiri anaknya di beberapa lokasi sekitar bandar ini termasuk kawasan Esplanade Temerloh dan masjid.
“Namun selepas usaha mencari tidak berhasil, saya membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Temerloh kira-kira pukul 6.10 petang ini,” katanya.
Menurutnya, anaknya ditemukan oleh orang ramai kira-kira pukul 7 malam selepas menyedari kanak-kanak itu merupakan individu yang dilaporkan hilang dan tular dalam media sosial Facebook serta kumpulan WhatsApp Temerloh.
“Saya bersyukur anak ditemui dalam keadaan baik. Selepas itu saya terus membuat laporan polis memaklumkan anak sudah dijumpai,” katanya.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Nasyim Bahron berkata, selepas menerima laporan kehilangan kanak-kanak berkenaan, pihaknya segera menjalankan usaha mengesan mangsa dengan bantuan orang awam.
Menurutnya, kanak-kanak tersebut dipercayai sering berjalan bersendirian di sekitar bandar ini dan pernah dilihat tidur di Masjid Lama Sultan Abu Bakar serta Masjid Baharu Sultan Haji Ahmad Shah.
Katanya, polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan tiada unsur jenayah atau kecuaian berlaku dalam kejadian tersebut. – UTUSAN










