GEORGE TOWN: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pulau Pinang akan menggunakan rakaman kamera badan serta rakaman video atau gambar sebagai bahan bukti semasa operasi penguatkuasaan dijalankan bagi kesalahan pembuangan sampah kecil bermula 1 Julai ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye berkata, pendekatan itu dilaksanakan bagi memastikan proses penguatkuasaan lebih praktikal, telus dan teratur.
Menurut beliau, pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bagi kesalahan pembuangan sampah kecil itu telah diluluskan menerusi Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 6 Mei lalu sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya di seluruh negeri bermula 1 Julai 2026.
“Minimum satu pasukan operasi ialah dua orang dan setiap pasukan hendaklah diketuai pegawai operasi. Daripada dua anggota itu pula, sekurang-kurangnya seorang akan memakai kamera badan.
“Selain kamera badan, rakaman video atau gambar juga boleh digunakan sebagai bahan bukti ketika operasi penguatkuasaan dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar mengenai pelaksanaan PKM bagi kesalahan pembuangan sampah kecil di Pulau Pinang, hari ini.
Menurut Mooi Lye, mengikut rekod, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini mempunyai kira-kira 170 kamera badan manakala Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memiliki 17 kamera itu bagi tujuan penguatkuasaan.
Beliau berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik pihak berkuasa tempatan juga boleh digunakan bagi membantu penguatkuasaan, namun, penggunaan secara langsung masih perlu diteliti bagi mengelakkan pertikaian.
Katanya, pelaksanaan PKM itu selaras dengan aspirasi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih, mampan dan lestari.
“Antara kesalahan yang boleh dikenakan tindakan termasuk membuang puntung rokok, plastik, botol, tisu dan pembungkus makanan merata-rata, membuang sampah ke longkang atau parit, selain meninggalkan sisa makanan selepas berniaga di kawasan awam,” katanya.
Beliau berkata, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau diarahkan menjalani PKM sehingga 12 jam dalam tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali.
“Antara bentuk aktiviti khidmat masyarakat yang boleh diarahkan kepada pesalah termasuklah kerja-kerja pembersihan di jalan awam, pasar awam, longkang, pantai awam, taman awam, tandas awam, perhentian bas, laluan pejalan kaki, jejantas, medan selera dan pusat penjaja,” ujar beliau.
Katanya, pesalah juga boleh diarah menyertai aktiviti gotong-royong komuniti, membantu kerja-kerja pembersihan pascabanjir atau bencana serta menyertai program pendidikan, komunikasi dan kesedaran awam (Communication, Education and Public Awareness – CEPA) yang dianjurkan oleh PBT atau agensi kerajaan berkaitan. – UTUSAN










