Biro Politik UMNO, PH bermesyuarat malam ini - Utusan Malaysia

Biro Politik UMNO, PH bermesyuarat malam ini

PERTEMUAN Biro Politik UMNO dan Pakatan Harapan (PH) akan diadakan di rumah rasmi Perdana Menteri di Kompleks Sri Perdana di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua ahli Biro Politik UMNO dan Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan pertemuan bagi membincangkan beberapa isu termasuk krisis politik di Negeri Sembilan, malam ini.

Pertemuan itu akan diadakan di rumah rasmi Perdana Menteri di Kompleks Sri Perdana di Putrajaya.

Sumber mengesahkan bahawa pertemuan itu diadakan bagi membincangkan kemelut politik yang sedang dihadapi kerajaan Negeri Sembilan susulan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dari UMNO menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Katanya, seluruh ahli Biro Politik UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijangka hadir pada pertemuan itu nanti.

“Iya, pertemuan akan diadakan di rumah Perdana Menteri di Kompleks Sri Perdana membabitkan seluruh ahli Biro Politik UMNO dan PH. Agenda utama perbincangan adalah membabitkan krisis politik di Negeri Sembilan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada 27 April lalu, kemelut politik di Negeri Sembilan memuncak susulan 14 ADUN UMNO mengisytiharkan hilang kepercayaan kepada kepimpinan Amiruddin di Negeri Sembilan.

Keputusan itu dibuat susulan krisis membabitkan institusi adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan yang perlu dihormati dan dipertahankan tanpa campur tangan politik.

Krisis semakin rumit apabila Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang juga ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya lebih rela menjadi pembangkang daripada menyokong PH.

Ia sekali gus bercanggah dengan pandangan Ahmad Zahid bahawa semua ADUN UMNO itu masih bersama PH namun hanya menarik sokongan kepada Amiruddin.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN